Felda Perlu Jadi Kuasa Besar Ekonomi

Jasin – Felda perlu mengorak langkah menjadi sebuah kuasa besar ekonomi dalam usaha menjana keuntungan lebih besar kepada golongan peneroka, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib berkata, Felda kini giat melaksanakan fasa kedua pembangunannya selepas mengecapi pelbagai kejayaan fasa pertama hasil keringat peneroka terdahulu.

“Kita buka buku baharu, strategi baharu untuk jadikan Felda satu komuniti yang hebat, kita letak FGV (Felda Global Venture) kita senaraikan saham di pasaran, kita dapat raih sumber modal tambahan.

“Jadikan Felda sebuah economic powerhouse atau sebuah badan ekonomi gagah perkasa, inilah intipati kita, ini strategi fasa kedua kita,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan dan Majlis Hari Raya 2014 di Stadium Jasin, Melaka, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad serta kira-kira 25,000 peneroka Felda dari seluruh negara.

Najib berkata, usaha mengembangkan Felda penting kerana generasi kedua Felda tidak boleh hanya bergantung harap terhadap apa yang telah diperolehi generasi pertama.

“Sebuah keluarga Felda secara purata mempunyai enam orang anak tetapi kalau generasi kedua bergantung pada tanah 10 ekar sahaja, kita akan terkebelakang dan tidak maju ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata, peneroka juga perlu berfikiran terbuka serta memandang jauh dan tidak tertumpu kepada hal berkaitan di tanah rancangan masing-masing sahaja.

Menurutnya, peneroka dan industri komoditi, terutama minyak sawit mempunyai kaitan dengan situasi semasa di seluruh dunia.

“Kalau kita tarik buah (sawit), banting tulang usahakan tanah 10 ekar, kalau strategi tidak betul, kita tidak dapat jual minyak sawit kita di pasaran dunia dan peneroka tidak dapat hasil berpatutan,” katanya.

Najib berkata, Felda akan terus memberikan bonus dan dividen kepada peneroka setiap tahun dan bukan melaksanakan pemberian ini secara “one-off”.

Katanya, ramai beranggapan peneroka Felda merupakan anak emas, bagaimanapun apa yang diberikan kerajaan kepada peneroka Felda adalah penghargaan kepada peneroka yang berkorban ketika waktu sukar penubuhannya.

“Seperti kita bercucuk tanam, kita baja, usahakan dalam 10 hingga 30 tahun kita raih hasilnya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.