Dasar Luar Malaysia Berdasarkan Prinsip Sokong Apa Yang Betul – Najib

Kuala Lumpur – Dasar luar Malaysia adalah berdasarkan prinsip iaitu menyokong apa yang betul dan menolak apa yang tidak betul, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata berdasarkan prinsip itu, Malaysia dengan itu tidak terbeban untuk memilih antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

“Ia bukan semudah memilih kelab bola sepak, misalnya Manchester United…ini berseloroh sahaja. Kita tidak boleh memutuskan atau membuat pilihan dengan melihat kepada kekuatan kedua-dua negara ini,” katanya.

Najib berkata demikian semasa ditanya negara mana patut dipilih Malaysia antara AS dan China pada Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia 2014, anjuran Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia di United Kingdom dan Eire (UKEC), di ibu negara, Ahad.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata Amerika Syarikat mempunyai kekuatan seperti pasaran luas, teknologi, inovasi, beberapa institusi pendidikan terbaik di dunia dan juga sebagai kuasa besar dan ‘hyper power’.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa Malaysia terhutang budi dengan Amerika Syarikat (AS).

Katanya, jika benar dakwaan itu, sudah tentu baki mangsa tragedi MH17 tidak akan pulang ke negara ini dua hari lepas.

“Jika kita terhutang budi kepada AS, sudah tentu kita tidak akan dapat mencapai kesefahaman dengan (pemimpin pemisah Alexander) Borodai.

“Dan jika kita tidak pupuk kesefahaman ini, saya tidak fikir mangsa MH17 akan diterima kita dua hari lepas,” katanya Perdana Menteri lagi.

Beliau juga berkata, jika Malaysia terhutang budi dengan AS, beliau sudah tentu tidak akan dapat melawat Gaza, wilayah Palestin yang diserang Israel, negara sekutu AS.

Najib berkata demikian sebagai reaksi kepada soalan seorang pelajar berhubung pilihan Malaysia sama ada untuk menyokong AS atau China.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.