KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyeru semua Ahli Dewan Negara dan seluruh rakyat Malaysia untuk terus membantah urus niaga penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada GIP milik BlackRock kerana kesan buruk dan mudaratnya jauh lebih besar dan merugikan negara berbanding manfaat yang dijanjikan oleh pihak kerajaan Malaysia Madani.
Beliau malah mengalu-alukan usaha Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk memulakan prosiding ke atas urus niaga penswataan MAHB ini dengan mengambil kira isi kandungan dan fakta yang terkandung di dalam surat layang yang diberikan oleh pemberi maklumat dalaman (whistleblower) KWSP.
“Saya telah digantung 6 bulan daripada terlibat dalam Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat tanpa diberikan sebarang ruang untuk membela diri.
“Penafian hak untuk didengari ini jelas bertentangan dengan prinsip Keadilan Asasi (Natural Justice) dan hak saya sebagai ahli Dewan Rakyat yang mewakili rakyat Machang seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Seperti dijelaskan oleh bekas Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim, saya sepatutnya dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen terlebih dahulu bagi menentukan kesahihan dan kebenaran fakta yang terkandung dalam surat layang yang diberikan oleh pemberi maklumat dalaman (whistleblower) KWSP.
“Saya yakin surat itu bukan satu fitnah jahat, sebaliknya ianya adalah penyataan fakta akan kebimbangan para pegawai KSWP yang enggan bersubahat dengan urus niaga penswastaan MAHB melalui penjualan saham dalam satu blok yang besar kepada GIP milik BlackRock yang telah dikenal pasti antara penyumbang utama pembunuhan beramai-ramai di Gaza, Palestin,” ujar beliau dalam kenyataan.
Menurut Ketua Armada Bersatu itu lagi, Isnin depan (29 Julai 2024) ahli-ahli Dewan Negara akan berbahas Rang Undang-Undang (RUU) pembubaran Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).
“Seperti yang telah dihujahkan oleh ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dalam Dewan Rakyat baru-baru ini ketika membahaskan RUU MAVCOM ini.
“Saranan kami ialah kerajaan perlu tangguhkan dahulu pembubaran MAVCOM agar MAVCOM diberikan ruang dan kuasa yang cukup tanpa menerima apa-apa tekanan daripada Menteri Pengangkutan untuk menyiasat kesesuaian penjualan saham MAHB ini kepada GIP milik BlackRock.
“PN bimbang pembubaran MAVCOM seterusnya penggabungannya dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan memberi pemusatan kuasa secara unilateral yang terlampau luas kepada Menteri Pengangkutan seperti yang termaktub dalam RUU Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Pindaan) 2004.
“Hal ini akan memberi kesan kepada proses tadbir urus dan tatakelola yang baik dalam mengawal selia urus niaga penswastaan MAHB kepada GIP milik BlackRock,” katanya.