KUALA LUMPUR- Malaysia menuntut akauntabiliti atas segala jenayah kejam dari rejim Zionis Israel termasuk penganiayaan terhadap rakyat Palestin khususnya kanak-kanak.
Demikian gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Karim Khan.
“Hari ini (semalam) saya menerima kunjungan hormat daripada Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Karim Khan sambil dimaklumkan mengenai peranan ICC dan perkembangan isu-isu antarabangsa terutamanya di Palestin dan Myanmar.
“Saya telah menekankan bahawa Malaysia menuntut akauntabiliti atas segala jenayah kejam dari rejim Zionis Israel termasuk penganiayaan terhadap rakyat Palestin khususnya kanak-kanak.
“Malah saya juga menggesa pihak ICC untuk mempercepatkan tindakan demi menegakkan keadilan bagi rakyat Palestin,” kata Perdana Menteri.
Terkait perihal isu Myanmar, Anwar mengulangi kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dengan negara-negara ASEAN dalam mencari jalan penyelesaian.