KUALA LUMPUR – Badan Peguam merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan kebenaran difailkannya untuk semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara memberhentikan prosiding kes rasuah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Berdasarkan notis rayuan difailkan firma guaman Abhilaash Subramaniam & Co, Badan Peguam tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan dibuat Hakim Datuk Amarjeet Singh pada 27 Jun lalu.
Perkara itu disahkan peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Zahid, yang menyatakan pihaknya menerima salinan notis rayuan berkenaan semalam.
Melalui permohonan pada 2 Disember tahun lalu, Badan Peguam yang menamakan Peguam Negara dan Ahmad Zahid selaku responden, memohon perintah supaya keputusan Peguam Negara yang memohon supaya Timbalan Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) pada 4 September tahun lalu, dibatalkan.
Amarjeet membuat keputusan menolak permohonan kebenaran terbabit selepas mendapati permohonan Badan Peguam bukan sesuatu yang boleh diputuskan oleh mahkamah dan badan terbabit tidak memenuhi peruntukan bagi dibenarkan memulakan prosiding semakan kehakiman.
Amarjeet turut menolak permohonan Badan Peguam untuk merujuk tiga soalan Perlembagaan berhubung perkara berkaitan kepada Mahkamah Persekutuan untuk diputuskan mahkamah tertinggi itu, lapor BH pada Rabu.
Hakim itu berkata, keputusan Peguam Negara dalam perkara terbabit juga tidak boleh dibawa untuk didengar dan diputuskan melalui prosiding semakan kehakiman.
Katanya, Peguam Negara tidak mempunyai kewajipan membekalkan maklumat, dokumentasi, sebab, asas dan butiran yang ia bergantung untuk mencapai keputusan bagi memohon DNAA terhadap Zahid, seperti dituntut pemohon.
Pada 4 September tahun lalu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Zahid daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Zahid.
Dalam permohonannya, Badan Peguam turut memohon perisytiharan keputusan Peguam Negara itu adalah batal dan tidak sah serta dibuat melebihi bidang kuasa dan kuasa yang diberikan kepada responden pertama mengikut Artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.
Turut dimohon, satu perisytiharan keputusan itu tidak munasabah, tercemar dengan tidak rasional.
Berikutan itu, Badan Peguam selaku pemohon tunggal, memohon perintah mandamus daripada mahkamah untuk mengarahkan Peguam Negara bertindak mengikut undang-undang, dan jika menganggap sesuai dan wajar, untuk bertindak mengikut Seksyen 254A Kanun Tatacara Jenayah dengan mendakwa semula Zahid.