Tujuan Sebenar Mahu Hadiri Temu Duga Tapi Mangsa Ditipu Dan dirogol Lelaki

WANITA berusia 25 tahun mendakwa dirogol seorang lelaki yang menawarkan kerja dalam kejadian di sebuah ladang sawit di Kawasan Perindustrian Seri Manjung, kelmarin.

Dalam kejadian 8 malam itu, mangsa dikatakan membonceng motosikal suspek yang kononnya ingin membawa dia menghadiri temu duga kerja dengan teman wanita lelaki itu.

Mangsa bagaimanapun dibawa ke kawasan sunyi di ladang kelapa sawit dan dipercayai diugut dengan pisau sebelum dirogol.

Mangsa mengetahui tawaran kerja sebagai perancang majlis hari jadi itu melalui rakannya dan kemudian menghubungi suspek.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, suspek dipercayai menghubungi dan menjemput mangsa dengan motosikal kelmarin, kononnya ingin membawa mangsa berjumpa dengan teman wanitanya bagi berbincang mengenai pekerjaan yang ditawarkan.

“Mangsa mendakwa suaminya turut mengetahui mengenai tawaran kerja itu dan mangsa meminta izin suami keluar bersama suspek dengan menaiki motosikal.

“Apabila tiba di ladang kelapa sawit yang sunyi itu, suspek dipercayai mengarahkan mangsa turun dari motosikal dan merogolnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhammad Hanif berkata, polis sudah mengenalpasti suspek dan sedang mengesannya bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menyalurkan kepada polis.

“Orang ramai juga diminta agar menghentikan penularan mesej dan gambar individu yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu kerana boleh mengganggu,” katanya.

Berita mengenai kejadian rogol itu tular sejak semalam di media sosial dengan gambar seorang lelaki bersama beberapa individu lain disebarkan sebagai suspek utama kes berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.