Lelaki Mengaku Bersalah Liwat Anak Sendiri

PENJAGA kolam udang mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini, atas lima pertuduhan liwat dan seks luar tabii ke atas dua anak tiri lelakinya berusia 11 dan tujuh tahun.

Tertuduh mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di beberapa lokasi di Mersing antara April tahun lalu hingga bulan ini.

Bagi empat pertuduhan pertama, dia didakwa meliwat mangsa berusia 11 tahun.

Manakala bagi pertuduhan kelima, tertuduh didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap mangsa kedua berusia tujuh tahun.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377 (C) dan 377 (C) (A) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Selepas menerima pengakuan tertuduh, Mohammad menetapkan 3 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula di Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak dan tidak membenarkan ikat jamin.

Difahamkan, tertuduh masih tinggal bersama isteri berusia 26 tahun dan tiga anak tiri lelaki berusia 11, tujuh dan empat tahun di Mersing sebelum ditahan baru-baru ini.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Shafi’uddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.