Festival Arkitek Imbau Sejarah Seni Bina Negara

Sempena meraikan sambutan bulan kemerdekaan yang ke-60 tahun ini, satu pameran seni bina sedang berlangsung di Galeri Petronas sehingga 30 Julai ini.

Bertemakan Transformasi Negara Pada Era Kemerdekaan, pameran dengan kerjasama Persatuan Arkitek Malaysia itu merupakan sebahagian daripada acara sempena Festival Arkitek Kuala Lumpur 2017 (KLA2017) yang berlangsung baru-baru ini, seperti memetik Kosmo.

Menerusi pameran itu, pengunjung dibawa melihat keunikan dan keindahan seni bina bangunan di sekitar Kuala Lumpur pada sekitar tahun 50-an dan 60-an.

Pengarah KLA2017, Ang Chee Cheong berkata, sebanyak 16 bangunan ikonik dan bersejarah telah dipilih untuk diketengahkan sepanjang pameran itu.

Antaranya, Stadium Merdeka, Stadium Negara, Parlimen, Masjid Negara, Standard Chatered Bank dan Flat Pekeliling.

“Pameran ini sangat istimewa kerana ia diadakan ketika negara bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan pada 31 Ogos.

“Selain melihat pelbagai maklumat dan bangunan bersejarah, pengunjung juga berpeluang mengenali arkitek yang mencipta setiap bangunan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran pameran itu yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KLCC Holdings Sdn. Bhd., Datuk Hashim Wahir.

Sehubungan itu, tambah Chee Cheong, pihaknya mengambil masa lapan bulan untuk menyiapkan bahan-bahan pameran itu yang merangkumi bangunan ikonik, perumahan rakyat, tempat ibadat dan hospital.

“Pemilihan bangunan dilakukan secara terperinci kerana kami mahu memastikan ia dapat memberi impak kepada pengunjung.

“Misalnya, Masjid Negara, sehingga ke hari ini seni binanya masih kekal unik dan tersendiri sehingga menjadi destinasi wajib bagi pelancong ke Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, terdapat 16 bangunan ikonik dan bersejarah yang dibina sekitar tahun 50-an dan 60-an dipamerkan di Galeri Petronas, Kuala Lumpur sehingga 30 Julai ini.

“Begitu juga, Lapangan Terbang Subang yang merupakan lapangan terbang paling moden ketika itu sehingga menjadi kebanggaan negara,” ujarnya yang juga merupakan seorang arkitek.

Jelasnya, pihaknya menyasarkan seramai 40,000 pengunjung mengunjungi pameran itu.

“Apa yang menarik, ada di antara bangunan yang dipamerkan ini tidak lagi wujud dan dirobohkan akibat pembangunan.

“Menerusi pameran ini, sekurang-kurangnya pengunjung khususnya generasi muda berpeluang melihat nilai sejarah yang ditinggalkan,” jelasnya.

Beliau berharap, pameran itu dapat mengiktiraf peranan dan sumbangan golongan arkitek sebagai sebahagian daripada transformasi pembangunan negara ketika itu.

“Selama ini, mungkin masyarakat hanya melihat kemerdekaan negara dari sudut perjuangan menentang penjajah sedangkan arkitek juga merupakan antara barisan hadapan yang banyak menyumbang kepada bangsa dan negara,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!