Baru 5 Hari Beroperasi, Bangku MRT Dicalar dan Tandas Dirosakkan

Dengan tempoh kurang 3 tahun untuk negara mencapai taraf negara maju 2020 – setidak-tidaknya mempunyai pemikiran negara kelas pertama – Malaysia dikejutkan dengan kejadian ‘vandalisme’ terhadap fasiliti Aliran Transit Massa (MRT) yang baru sahaja dilancarkan pertengahan minggu lalu.

Laluan 1 MRT, laluan Sungai Buloh – Kajang (SBK) disifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai projek pengangkutan awam bertaraf dunia namun segelintir pengguna nampaknya tidak layak untuk menggunakan fasiliti berkenaan.

“Tidak ada kesopanan langsung,” kata Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan, Datuk Najmuddin Abdullah kecewa dengan sikap pihak yang merosakkan ukiran dinding di stesen MRT bawah tanah, Merdeka.

Ujarnya, beliau dimaklumkan bahawa kerosakan berkenaan dilakukan oleh anak kecil yang memanjat ukiran Rukun Negara yang menghiasi dinding stesen berkenaan.

“Dan saya boleh tunjukkan serpihan dinding di tapak tangan saya,” katanya merujuk kepada gambar dilampirkan bersama status yang dimuatnaik di Facebook, semalam.

Tambahnya, di laluan keluar F, stesen MRT Bukit Bintang pula menyaksikan sesuatu lebih menjengkelkan apabila sebatang penyapu dan sebuah lampu sorot berada di bumbung lut sinar stesen berkenaan: “saya pasti dua benda tersebut tidak naik ke atas bumbung dengan sendirinya,” tambah beliau.

Ujarnya, beliau gembira dengan sambutan masyarakat awam terhadap pelancaran laluan MRT SBK dan menurut perangkaan dikeluarkan oleh syarikat tersebut, jumlah pengguna sudah meningkat kepada 140,000 sehari.

“Terdapat banyak kesan calar di tempat duduk dan dinding. Kerosakan di tandas – sebuah tandas OKU telah rosak dua hari lepas,” katanya kecewa diatas kerosakan dalam tempoh selepas 5 hari beroperasi.

Memetik laporan Astro Awani, vandalisme adalah sebahagian daripada ‘perasmian’ masyarakat Malaysia terhadap perkhidmatan MRT.

Selain puntung rokok dibuang merata-rata tapak stesen, sampah juga menjadi masalah utama dan penyelenggara warga asing yang membersihkan mengakui perbuatan itu dilakukan oleh rakyat Malaysia sendiri.

“Saya pernah nampak beberapa orang membuang sampah, kayu dan bermacam-macam lagi.

“Saya tak boleh tegur mereka, kerana mereka orang Malaysia, saya orang luar. Apa yang saya boleh buat hanyalah mengambil gambar dan laporkan kepada pihak pengurusan,” kata Md Rasal yang menyelenggara Stesen MRT Bukit Bintang.

Laporan oleh Astro Awani juga menyatakan salah satu paip di tandas di MRT juga tercabut, dipercayai oleh perbuatan tangan keji.

“Kami memberikan fasiliti kelas pertama tetapi jika masyarakat tidak bersedia menerimanya dengan mentaliti kelas pertama, kami tidak ingin membazirkan sejumlah besar wang untuk kerja-kerja membaik pulih,” tegas Najmuddin. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.