Baitulmuqaddis Makin Bergolak

BAITULMUQADDIS – Israel mengerahkan askar tambahan ke wilayah dikuasainya, Tebing Barat kelmarin selepas polis menyuraikan penunjuk perasaan Palestin yang bertindak membaling batu di Baitulmuqaddis.

Menurut AFP, keganasan antara kedua-dua belah pihak dianggap yang terburuk dalam tempoh beberapa tahun dan semakin membimbangkan komuniti antarabangsa.

Polis Israel di Baitulmuqaddis berkata, anggota-anggotanya menembak bom gegar dan meriam air untuk menyuraikan puluhan penunjuk perasaan yang membaling mereka dengan batu dan botol.

Di Tebing Barat pula, tentera Israel menyerbu kediaman penyerang Palestin yang menikam mati tiga penduduk Yahudi dan mencederakan seorang lagi pada Jumaat lalu, lapor Kosmo.

Mangsa serangan pisau itu berasal dari penempatan haram Yahudi, Neve Tuf di Tebing Barat, manakala penyerang mereka, Omar Aladed ditembak dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Sebelum kejadian, Omar memuat komen di Facebook menyatakan: “ Saya akan pergi ke sana dan saya tahu saya tidak akan pulang lagi. Betapa manisnya kematian kerana Tuhan, rasulnya dan masjid Al-Aqsa.”

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Kesihatan Palestin memberitahu, seorang warga Palestin mati dalam pertempuran di luar bandar Baitulmuqaddis, menjadikan angka korban pertempuran dua hari sejak Jumaat lalu meningkat kepada tujuh orang.

Keganasan baharu itu berpunca daripada tindakan pihak berkuasa Israel memasang alat pengesan logam di pekarangan Masjid Al-Aqsa atau dikenali sebagai Tempel Mount oleh orang Yahudi.

Dalam pada itu, kuartet damai Asia Barat terdiri daripada Rusia, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan dalam satu kenyataan bersama bahawa mereka amat bimbang dengan peningkatan ketegangan dan pertempuran ganas di Bandar Lama, Baitulmuqaddis dan menggesa semua pihak agar bertenang.

Majlis Keselamatan PBB juga dijangka bermesyuarat hari ini bagi membincangkan situasi di Baitulmuqaddis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.