AirAsia Perkenal Laluan Terus Dari KL Ke Davao Serendah RM99

DAVAO – AirAsia Bhd. (AirAsia) mem­perkenalkan laluan terus dari Kuala Lumpur ke Davao deng­an empat kali penerbangan seminggu mulai 21 Disember ini dengan tambang serendah RM99 sehala.

Davao, merupakan penerba­ngan laluan terus yang keempat ditawarkan syarikat penerbangan tambang murah itu di Filipina selepas Manila, Cebu dan Kalibo.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes berkata, Davao mempunyai potensi yang besar sebagai gerbang antarabangsa di ASEAN dan penerbangan terus itu secara tidak langsung dapat memacu pertumbuhan ekonomi di wilayah selatan Filipina itu.

“Davao adalah antara destinasi yang dekat di hati saya, malah merupakan satu daripada bandar utama yang kami terbang apabila AirAsia memulakan operasi di Fili­pina pada 2012.

“Melalui laluan terus ini, kami menyasarkan faktor muatan akan meningkat antara 75 hingga 80 peratus dengan cepat kerana Davao merupakan bandar yang besar dan mempunyai ba­nyak tarikan tersendiri sekali gus menjadikan ia sangat berpotensi berdasarkan kedudukannya yang strategik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan laluan tersebut sempena Persidangan Pelaburan Davao 2017 (ICON 2017) yang di­rasmikan Presiden Filipina, Rodrigo Roa Duterte di sini hari ini.

Yang turut hadir, Datuk Bandar Davao City, Sara Duterte-Caprio dan Ketua Pegawai Eksekutif Air­Asia Filipina, Kapten Dexter Comendador.

Persidangan kali keempat itu yang dianjurkan dengan kerjasama Dewan Perdagangan dan Industri Davao dan Pihak Berkuasa Pemba­ngunan Mindanao memberi fokus untuk menggalakkan pelaburan dalam sektor perkilangan, pelancong­an, pertanian dan infrastruktur.

Tambang serendah RM99 sehala itu dibuka untuk tempahan mulai hari ini sehingga 30 Julai 2017 bagi tempoh penerbangan antara 21 Di­sember 2017 hingga 28 Ogos 2018.

Dalam tempoh 2015 hingga 2016, AirAsia telah menerbangkan 577,536 penumpang dari Manila, Cebu dan Kalibo yang menghubungkan mereka de­ngan bandar-bandar utama di Fili­pina termasuk Clark, Caticlan, Tacloban, Palawan dan Tagbilaran.

Tahun ini sahaja, AirAsia telah melancarkan laluan domestik dari Davao ke Cebu, Palawan dan Boracay serta penerbangan terus dari Cebu ke destinasi antarabangsa lain seperti Singapura, Taipei dan Seoul. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.