Insiden Ustazah Tampar Pelajar : KPM Tunggu Laporan Terperinci

Kementerian Pendidikan akan menunggu laporan terperinci berhubung insiden seorang ustazah dikatakan menampar seorang pelajar perempuan di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Gajah, Kelantan, Selasa lepas.

 

Timbalan Menteri, Datuk P.Kamalanathan berkata pihaknya akan mengambil tindakan selepas menerima laporan berkenaan dalam masa terdekat.

 

“Setiap laporan yang diterima akan diselesaikan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau pihak polis (jika perlu) dengan kadar segera,” katanya kepada pemberita selepas menutup program Pertandingan Terbuka Bahasa Tamil 1Malaysia peringkat Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

 

Kamalanathan dalam pada itu turut mengingatkan bahawa setiap guru perlu sentiasa mengawal emosi ketika sesi pengajaran dan pembelajaran.

 

“Ada kaedah sesuai bagi memperbetul tingkah laku pelajar dan tindakan mencederakan mereka tidak harus berlaku sama sekali,” katanya.

 

Mengenai pertandingan itu, beliau berkata ia melambangkan Bahasa Tamil telah mula bertapak di Malaysia sejak 200 tahun dahulu, apabila kelas Tamil pertama diadakan secara rasmi di Penang Free School pada 21 Okt 1816.

 

Sebanyak 30 pasukan dari sekolah menengah sekitar Kuala Lumpur mengambil bahagian dalam pertandingan itu dengan mengetengahkan sebagai tema, sumbangan dan jasa tokoh-tokoh India di negara ini melalui ‘powerpoint’ dan penerangan.

 

Pertandingan itu turut melibatkan pelajar Melayu dan Cina yang menyemarakkan semangat 1Malaysia.

 

Salah seorang peserta dari SMK Seri Bintang Utara, Sherina Sheridan, 14, berkata beliau kagum dengan penglibatan tokoh-tokoh seperti Bharathiyar, Thamizhavel G. Sarangapani dan Avvaiyar dalam pengaruh bahasa Tamil di negara ini.

 

“Saya mendapat tahu mengenai mereka ketika membuat kajian sebagai persediaan bagi pertandingan ini,” kata Sherina.

 

Dalam pertandingan itu, SMK Seri Bintang Utara dinobatkan sebagai johan diikuti SMK Convent Bukit Nanas di tempat kedua dan ketiga, SMK Zon R1 Wangsa Maju.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.