Filipina Mahu Malaysia Bantu Rangsang Ekonomi Serantau

MANILA – Manila berharap Malaysia dapat berkongsi kekayaan ekonomi bersama negara jirannya bagi merangsang pertumbuhan ekonomi serantau.

 

Perkara itu dinyatakan Setiausaha Jabatan Perdagangan dan Industri Filipina, Ramon M. Lopez, dalam pertemuan dengan delegasi misi promosi francais Malaysia yang diketuai Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan(KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainudin.

 

Ramon berkata banyak perkara yang boleh dipelajari dari Malaysia dalam bidang perdagangan, selari dengan kedudukan Malaysia pada tangga ke-18 dalam Indeks Mudah Untuk Menjalankan Perniagaan global.

 

“Kami juga berhasrat mengikut jejak langkah Malaysia dalam memudahcarakan perniagaan bagi memacu pertumbuhan ekonomi positif, sekali gus memperbaiki kedudukan Filipina dalam indeks yang sama,” kata Ramon.

 

Jika di Malaysia hanya mengambil masa beberapa jam sahaja untuk menyelesaikan proses pendaftaran syarikat, Ramon berkata di Filipina pada masa ini, proses keseluruhan akan mengambil masa sehingga lima hari.

 

Sementara itu, Hamzah berkata Malaysia menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bersedia membantu dengan berkongsi maklumat dan kepakaran yang diperlukan.

 

Hamzah mengetuai misi promosi francais Malaysia selama dua hari di Manila selama dua hari selain menyertai Pameran Francais Asia Filipina 2016, yang dirasmikan Naib Presidennya, Leni Robredo, pada Jumaat.

 

Ini merupakan misi kedua yang disertai Malaysia tahun ini menerusi program Franchise Malaysia Goes Global (FMGG) 2016 selepas misi yang sama di Jakarta, Indonesia bulan lepas.

 

Selain menyertai pameran, KPDNKK turut menjalankan kajian pasaran serta meneroka peluang kerjasama dengan agensi-agensi yang terlibat dalam pembangunan industri francais di Filipina.

 

Antara agensi yang turut sama dalam misi ini ialah Pebadanan Nasional Berhad (PNS), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Perbadanan Harta Intelek (MyIPO), Persatuan Francais Malaysia (MFA) dan 10 syarikat francais tempatan.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.