Beza Dua Mata, Felda United Ekori Rapat JDT

KUALA LUMPUR ― Felda United terus mengekori rapat pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), apabila mengalahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-1 malam tadi.

 

Dua jaringan menerusi pemain import dari Uzbekistan, Lutfulla Turaev pada minit ke-34 dan Francis Forkey Doe dari Liberia pada minit ke-60 di Stadium Hang Jebat, Melaka, menyaksikan Felda United kini mengutip 34 mata, kurang dua mata daripada JDT, selepas 14 perlawanan Liga Super.

 

Sementara gol tunggal PDRM dijaringkan Konate Souleymane pada minit ke-75.

 

JDT kekal sebagai pendahulu Liga Super selepas membenam Sarawak 2-1 pada perlawanan yang berlangsung kelmarin.

 

Di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, Selangor kekal di kedudukan ketiga liga walaupun terikat 1-1 menentang tuan rumah, hasil jaringan pembukaan oleh Jeong Seok Min pada minit ke-26 untuk Pulau Pinang.

 

Selangor bagaimanapun bangkit menyamakan kedudukan melalui jaringan Patric Ronaldinho pada minit ke-33.

 

Sementara itu, Kedah naik di kedudukan keempat liga dengan 19 mata selepas menang tipis 1-0 ke atas T-Team menerusi jaringan Shane Smeltz pada minit ke-49 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

 

Di Stadium Perak, Ipoh, pasukan Bos Gaurus cemerlang menundukkan Terengganu 2-0 menerusi jaringan D. Kenny Pallraj pada minit ke-26 dan Elias Fernandes de Oliveira pada minit 78.

 

Kemenangan itu meletakkan Perak di tangga kelapan liga dengan 14 mata manakala Terengganu kekal di tangga ketujuh dengan 16 mata.

 

Di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baru, pasukan Kelantan gagal memanfaatkan beraksi di laman sendiri apabila seri 0-0 ketika menerima kunjungan Pahang.

 

Pungutan satu mata itu menyaksikan Kelantan jatuh satu tangga di kedudukan kelima dengan 17 mata, manakala Pahang di tangga ke-10 dengan 13 mata. ― Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.