Xavier Justo Dakwa Ada Pihak Di Malaysia Mahu Pinda Maklumat

Bekas eksekutif PetroSaudi International, Xavier Andre Justo mendakwa pengendali laman Sarawak Report dan seorang ahli perniagaan Malaysia berbincang untuk “meminda” maklumat dalam dokumen syarikat tersebut.

 

Justo, yang menjadi sumber kebocoran maklumat tersebut, berkata beliau juga bersetuju untuk menjual dokumen berkenaan, yang didakwanya dicuri daripada syarikat PetroSaudi untuk bayaran sebanyak AS$2 juta (RM7.6 juta).

 

“Saya memberi dokumen asal itu tanpa sebarang pindaan,” katanya dalam satu wawancara dengan Straits Times di pusat tahanan reman di Bangkok.

 

Justo ditahan sementara menunggu tuduhan di mahkamah atas tuduhan peras ugut.

 

Justo mendakwa, individu yang ditemuinya awal tahun ini merancang untuk menggunakan dokumen tersebut “sebagai cubaan untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia” dan menambah mereka juga merujuk kepada usaha untuk “meminda dokumen tersebut”.

 

“Saya boleh katakan bahawa saya memberi dokumen itu kepada dua pihak,” kata Justo.

 

Menurutnya, dua kumpulan itu ialah editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan “pekerja IT beliau”, manakala satu pihak lagi adalah seorang ahli perniagaan Malaysia dan rakan sekerjanya.

 

Straits Times enggan mendedahkan nama individu tersebut sehingga mendapat ulasan mereka berhubung dakwaan tersebut.

 

Rewcastle-Brown ketika dihubungi oleh Straits Times dengan tegas menafikan dakwaan tersebut.

 

“Kenapa saya perlu pinda apa-apa? Jika saya pinda, mengapa 1MDB dan PetroSaudi masih belum mengemukakan bukti pindaan itu, sekurang-kurangnya dalam tempoh kira-kira lima bulan ini?,” soalnya. – Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.