Video: Rakaman Bai’ah Laknat Calon PAS Tersebar

Kuala Lumpur – Sehari dua ini, masyarakat gempar dengan pendedahan demi pendedahan berhubung sumpah laknat atau bai’ah yang melibatkan calon PAS bagi mengelakkan risiko mereka yang menang mengkhianati parti.

 

Walaupun isu mengenainya semakin heboh diperkatakn, namun ada segelintir dikalangan masyarakat merasakan perkara itu sengaja direka bagi memburukkan imej parti yang memperjuangkan Islam itu.

 

Mungkin disebabkan itu mereka yang mendokong perjuangan Gerakan Harapan Baru (GHB) dikatakan mula bertindak balas menyebarkan rakaman sumpah laknat yang dimaksudkan.

 

Melalui rakaman tersebut, semua calon-calon PAS diminta bersumpah dan berikrar untuk tidak mengkhianati parti sekiranya menang dan sekiranya mereka akan dilaknat.

 

 

Sementara itu blogger, Shahbudin Husin dalam entri terbarunya menyifatkan sumpah setia atau lafaz Bai’ah dalam Pas yang bertujuan untuk menakutkan kumpulan progresif dalam parti itu, hanya akan merendahkan nilai Islam.

 

Lebih-lebih lagi apabila ia turut melibatkan kaum wanita iaitu isteri pemimpin dijatuhkan talak tiga jika wakil rakyat Pas keluar parti dan menyertai parti lain.

 

Menurut Shahbudin Pas harus sedar ia hanya sebuah parti politik yang berselimutkan agama dan terdedah kepada perbuatan khianat dalam perjuangannya.

 

“Sudah sampai masanya Majlis Fatwa mengeluarkan hukum yang jelas mengenainya dan melarang ia terus digunakan oleh Pas.

 

“Selain merendahkan nilai Islam dan menjadikan kaum wanita boleh ‘dilambung atau dihempas’ atas pertimbangan politik, ia juga menjadikan Pas seolah-olah sentiasa betul dan terkecuali daripada melakukan pengkhianatan,” tulis Shahbudin.

 

Tulisnya, isu bai’ah diketengah pada masa kini antara lain sekadar untuk menakut-nakutkan golongan profesional dan progresif agar jangan meninggalkan atau keluar daripada Pas serta membatalkan hasrat menubuhkan Gerakan Harapan Baru (GHB).

 

Strategi Pas ini juga dikatakan bertujuan mempengaruhi rakyat menolak GHB kerana parti itu dianggap telah dipimpin oleh mereka yang khianat kepada Pas dan perjuangan Islam.

 

“Lebih dari itu, khianat kepada Allah juga mulai disebut,” tulisnya lagi.

 

Ketua PAS Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun dalam satu kenyataan sebelum ini berkata sumpah bai’ah bukan perkara baharu dan telah lama menjadi amalan parti itu di Kelantan yang mana semua wakil rakyat, sama ada di peringkat parlimen atau negeri, mengangkat sumpah di hadapan Pesuruhjaya PAS.

 

Menurutnya mana-mana Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Kelantan diingatkan supaya merujuk semula sumpah bai’ah talak tiga ke atas isteri masing-masing sekiranya berhasrat meninggalkan parti itu dan menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.