The Edge Mengaku Tipu Justo

Kuala Lumpur – The Edge Media Group hari ini mengakui memperdayakan bekas eksekutif PetroSaudi International, Xavier Andre Justo untuk mendapatkan dokumen berhubung isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dicuri daripada bekas majikannya.

 

Pengakuan itu dibuat oleh pengerusinya, Tong Kooi Ong dan penerbit, Ho Kay Tat, dalam kenyataan bersama yang disiarkan portal The Malaysian Insider pagi tadi.

 

Merujuk laporan akhbar The Straits Times hari ini bahawa Justo mendakwa beliau tidak dibayar AS$2 juta (RM7.62 juta) sebagai pertukaran kepada maklumat yang dicurinya seperti yang dijanjikan, mereka mengakui tiada pembayaran dibuat seperti yang dikehendaki Justo.

 

“Ya, kami memperdayakan beliau…. Kenyataan beliau itu mengesahkan apa yang kami nyatakan sebelum ini, iaitu kami tidak membayar kepada sesiapa,” menurut kenyataan itu.

 

Tong dan Ho juga menyatakan mereka tidak melakukan sebarang kesalahan dan sedia membantu pasukan penyiasat, tidak seperti beberapa individu yang seolah-olah sudah menghilangkan diri.

 

“Hakikat banyak agensi kerajaan sedang menyiasat 1MDB dan ia kini sebuah syarikat yang hampir muflis dan perlu diselamatkan mengesahkan semua usaha yang dilakukan The Edge Media Group bagi mendedahkan apa yang berlaku,” menurut kenyataan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.