Saya Maafkan Perompak Yang Cederakan Saya – Dr. Fauzi

Kuala Lumpur – “Sempena Aidilfitri ini, saya bersedia untuk memaafkan perompak yang mencederakan saya tempoh hari,” kata bekas pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Fauzi Deraman.

 

Menurutnya, akibat ditetak di bahagian kepala ketika cuba menyelamatkan isterinya daripada diserang perompak di rumahnya yang terletak di Taman Batu Muda, Gombak pada 20 Mei lalu, beliau menerima lapan jahitan.

 

“Masa kejadian itu berlaku, isteri saya (Siti Radziah) sedang berada di luar rumah dan apabila beliau nampak dua lelaki yang tidak dikenali datang menghampiri, dia lari masuk ke dalam rumah.

 

“Perompak itu pun masuk ke kawasan pagar dan mengugut. Ketika itu saya tolak dia dan kami berdua jatuh ke lantai dan seorang lagi perompak mula menerkam saya,” katanya ketika ditemui The Rakyat Post di Masjid Al-Azim Pandan Indah.

 

Dr. Fauzi berkata, selepas perompak itu terjatuh dia memegang kakinya dan rakan perompak tersebut melibaskan parang ke bahagian kepalanya.

 

“Alhamdulillah, saya tidak mengalami kecederaan yang serius dan hanya dirawat selama lima hari di Hospital Selayang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

 

“Mungkin perompak itu terdesak hingga sanggup merompak gelang yang tidak seberapa,” katanya.

 

Beliau berkata, kejadian rompak tersebut bukanlah yang pertama di kawasan perumahannya.

 

“Kes rompak yang dialami penduduk Taman Batu Muda bukanlah yang pertama kerana banyak kes rompakan dilaporkan di sini,” katanya.

 

Tambahnya, Aidilfitri pada tahun ini disambut meriah bersama keluarga dan ibunya, Selamah Ali di kediamannya di Gombak.

 

“Semasa kejadian rompakan berlaku, ibu saya berada di rumah adik saya dan di penghujung Ramadan beliau tinggal di rumah saya.

 

“Sempatlah kami menyambut Hari Raya bersama dan InsyaAllah pada 6 hingga 9 Ogos 2015, saya akan ke Sabah demi menjayakan misi dakwah di Pulau Gaya dan sekitar pinggir bandar Kota Kinabalu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.