‘Pelakon’ Masuk Pas Kerana Jawatan Akan Tenggelam – Hadi

Kuala Lumpur – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memuji ahli parti itu yang terus setia berjuang bersama walaupun berdepan banyak cabaran.

 

Katanya, mereka yang terdiri daripada pelbagai latar belakang terus setia bersama parti walaupun dianggap bodoh, miskin mahupun bangsat.

 

Namun, katanya, mereka yang setia tanpa mengharapkan pangkat, jawatan atau kedudukan dalam parti akan dipelihara Allah.

 

“Bagi yang miskin dan bangsat kerana dipandang hina kebanyakan umum pula, mereka turut menyumbangkan doa serta tenaga dengan ikhlas tanpa terlibat dengan pertandingan pemimpin atau meminta menjadi calon dan jawatan.

 

“Kesemua mereka tetap dengan pendirian walaupun tidak dipilih dalam Mesyuarat Agong atau Muktamar. Mereka tidak dicalonkan dalam pilihan raya dan tidak mendapat projek dan balak, tetapi tidak merajuk dan terus beristiqamah,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

 

Abdul Hadi turut menyindir kumpulan yang menjadikan Pas sebagai batu loncatan untuk mendapatkan jawatan dan pangkat sebagai ‘pelakon’ yang akan tenggelam.

 

“Sesiapa yang mengubah Pas lain daripada ketetapan Allah tersebut pasti tenggelam mengikut ketetapan Allah juga,” katanya.

 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang membuat kenyataan itu susulan terdapat pihak luar yang cuba memancing ahli dan pemimpin Pas supaya keluar daripada parti dengan menyertai parti baharu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.