NGO Buat Laporan Polis Terhadap Tony Pua

Kota Kinabalu – Pakatan Badan Bukan Kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis terhadap anggota Parlimen DAP, Tony Pua yang mengaku beberapa kali menemui editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, yang didakwa berniat jahat terhadap kerajaan Malaysia.

 

Presiden pakatan itu Zulkarnain Mahdar berkata dengan pendedahan Pua itu sendiri, pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan terhadap Pua kerana pertemuan itu merupakan satu bukti kukuh mengenai kemungkinan penglibatan Pua berhubung isu dokumen 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

“Kami juga mahu supaya Pua meletak jawatan sebagai panel ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang menyiasat 1MDB tetapi pada masa sama memfitnah 1MDB,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu, di sini hari ini.

 

Zulkarnain berkata siasatan dalam PAC merupakan perkara sulit dan Pua tidak seharusnya berada dalam kumpulan ahli panel itu.

 

Semalam, Pua mendedahkan beliau ada bertemu Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown beberapa kali di Singapura, Indonesia dan London.

 

Pua bagaimanapun menafikan pertemuannya dengan bekas eksekutif PetroSaudi International, Xavier Andre Justo dan bekas editor Sarawak Tribune, Lester Melanyi. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.