KPN Jumpa Ketua Polis Thai Bincang Kes Justo

Bangkok – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya di sini hari ini bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai warga Swiss, Xavier Andre Justo yang dituduh mengugut bekas majikannya, PetroSaudi International.

 

Pihak berkuasa Thailand bagaimanapun belum memutuskan sama ada akan membenarkan polis Malaysia menyoal siasat Justo, kini dalam tahanan Thailand, atas alasan Malaysia harus menggunakan saluran sewajarnya bagi mendapatkan maklumat diperlukan.

 

Ketua Polis Thailand, Jen Somyot Poompanmoung, selepas pertemuan dengan Khalid, berkata: “Kami tidak dapat memberi keputusan atau jawapan hari ini, tentang sama ada membenarkan (Polis Malaysia menemuramah Justo) kerana kami perlu tahu sebab dan keperluannya, dan sama ada ia berkait dengan kes berkenaan.”

 

“Jika sekalipun kebenaran diberikan, kami perlu juga mempertimbangkan apa yang polis Malaysia boleh dan tidak boleh lakukan oleh kerana Justo bukan warga Malaysia dan tidak melakukan kesalahan di Malaysia,” katanya.

 

Somyot berkata polis Thai perlu menyelesaikan siasatannya dahulu.

 

Katanya, Justo berkemungkinan didakwa atas percubaan mengugut.

 

Khalid ke Bangkok atas lawatan tidak rasmi dan mengadakan pertemuan selama 50-minit dengan Somyot pada jam 2 petang.

 

Somyot berkata Khalid ‘tidak mahu menyebabkan polis Thai merasa tidak selesa’ dan beliau memahami situasi kerana Justo warga Swiss bukan Malaysia.

 

Lagipun, suspek tidak melakukan sebarang kesalahan di Malaysia.

 

“Jika polis Thai membenarkan polis Malaysia menemui Justo, ini akan dikecam oleh kerajaan Switzerland.

 

“Pegawai-pegawai Switzerland terlibat dalam kes berkenaan dan telah menghubungi polis Thai, serta menyediakan seorang peguam dan beberapa bantuan lain kepada Justo,” kata Somyot.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.