1MDB: Justo Ditawarkan AS$2 Juta Untuk Dapatkan Maklumat

Bangkok – Bekas Pengarah PetroSaudi International Xavier Andre Justo berkata, beliau dijanjikan AS$2 juta bagi pertukaran maklumat yang diambilnya daripada bekas majikan seorang ahli perniagaan Malaysia tetapi tidak pernah dibayar, lapor akhbar Singapura, The Straits Times (ST).

 

Beliau juga mendakwa Pengarang The Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown bersetuju menerima bayaran dan mengemukakan kepadanya secara ansuran.

 

Bagaimanapun, Brown menafikan dakwaan itu dan memberitahu ST dakwaan Justo “tidak benar” dan menyifatkannya sebagai “omong kosong”.

 

Justo, dalam satu temu bual di dalam penjara di Bangkok, memberitahu akhbar Singapura itu perjanjian penjualan maklumat dibuat di Singapura pada Februari selepas bertemu sekumpulan individu termasuk Brown.

 

“Saya memberikan dokumen-dokumen asal tanpa sebarang perubahan.

 

“Saya boleh mengatakan saya memberikan dokumen kepada dua kumpulan individu.

 

“Satu kepada Cik Rewcastle-Brown dan ‘lelaki IT beliau’ dan satu lagi ialah ahli perniagaan Malaysia dan rakannya,” Justo dipetik sebagai berkata.

 

ST berkata, mereka tidak boleh mendedahkan nama ahli perniagaan terbabit kerana masih belum disahkan.

 

Akhbar itu berkata, Justo menunjukkan kepada mereka satu salinan pengakuan dengan 22 muka surat yang dibuat kepada polis Thai, di mana beliau menamakan individu ditemui di Singapura bagi membincangkan penjualan data.

 

Justo berkata, pembeli berkenaan menawarkan wang tunai, dan menurut perancangan ia bertujuan bagi beliau ke Singapura setiap minggu atau lebih untuk menerima sampul surat berisi pembayaran secara ansuran selama beberapa bulan sehingga jumlah akhir dibayar.

 

Beliau bagaimanapun, menolak.

 

Katanya, beliau sebelum ini cuba membuka akaun bank sebanyak 3 kali dengan bank berbeza di Singapura, Abu Dhabi dan Hong Kong, tetapi ditolak sambil menambah tidak tahu mengapa.

 

Menurut laporan itu, Justo mendakwa Brown bersetuju menerima AS$2 juta daripada pembeli dan mengirimkannya AS$250,000 sebulan untuk perkhidmatan perundingan, tetapi menambah tidak tahu sama ada Brown menerima wang itu memandangkan beliau kemudiannya ditangkap.

 

 
BERITA LANJUT MENYUSUL

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.