Dua Beradik Terpaksa Berhenti Sekolah Demi Keluarga

Baling – Pepatah kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah membawa bahagia menjadi pegangan kepada dua beradik yang sanggup melupakan alam persekolahan mereka hanya semata-mata tidak mahu membebankan keluarga.

 

Keputusan itu dibuat susulan ibu yang tersayang terlantar ekoran menghidap kanser otak.

 

Dua beradik itu adalah sebahagian daripada tujuh adik beradik yang tinggal di Kampung Padang Sadang Jenalik, Baling, Kedah.

 

Norafiza Suhaimi, 17, yang merupakan anak sulung terpaksa menjaga ibunya, Zuraidah Omar, 37, yang terlantar sejak dua tahun lalu, manakala adiknya Mohd Sofian, 15, bekerja di gerai ayam dan daging di Beris Jaya, Sik sejak beberapa bulan lepas.

 

Kedua-dua mereka sebelum ini bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bongor, Baling.

 

Bapa mereka, Suhaimi Mat Isa, 47, yang tidak mempunyai sumber pendapatan tetap berkata, sejak sesi persekolahan dibuka dua hari lalu selepas cuti Aidilfitri, hanya seorang anaknya ke sekolah iaitu Mohd Jamil, 11, manakala Mohd Haikal, 7, tidak ke sekolah kerana peralatan untuk belajar tidak mencukupi.

 

Dua lagi anaknya Mohd Fikri, 6, dan Norhidayah, 4, pula mengalami penyakit kulit dengan dipenuhi kudis di kepala.

 

Katanya, anak bongsunya, Mohd Ilham, 2, dijaga oleh ibu saudara mereka di Kampung Siput, Mukim Siong sejak isterinya disahkan menghidap kanser otak.

 

Suhaimi berkata, dia juga terpaksa menyambut hari raya di Hospital Baling, akibat perlu menjalani rawatan selama sembilan hari kerana dijangkiti virus kencing tikus dan hanya dibenarkan pulang ke rumah pada 22 Julai lalu.

 

Menurut Suhaimi, isterinya pernah menjalani pembedahan di bahagian kepala sebanyak empat kali di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

 

“Kini keadaan Zuraidah semakin lemah dengan hilang penglihatan serta gagal bercakap dengan jelas,” katanya.

 

Penderitaan keluarga ini pernah didedahkan media setahun lalu dan mendapat perhatian pihak Jabatan Zakatyang menghulurkan bantuan barangan makanan setiap bulan sejak hampir setahun lalu.

 

“Saya berterima kasih kepada pihak Jabatan Zakat yang sentiasa membantu setiap bulan selepas penderitaan keluarga saya didedahkan setahun lalu,” katanya sambil berharap ada pihak yang dapat membantu persekolahan anak-anaknya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.