Dengan Duit RM15, Ibu Nekad Bawa Anak Balik Kampung Dengan Motorsikal

Port Dickson – Hanya berbekalkan RM15, seorang ibu nekad membawa dua anaknya menaiki sebuah motosikal dari Kuala Lumpur untuk pulang ke kampung halaman di Tebrau, Johor selepas mendakwa ditinggalkan suami.

 

Difahamkan, Normaliza Mustafa, 36, bersama suami dan dua anak lelaki Muhamad Shariz Daniel Abdullah, 11, dan Muhamad Shafiz Daniel, 10, hidup sebagai gelandangan di ibu kota, sejak dua tahun lalu.

 

Bagaimanapun, suami yang berusia 37 tahun dikatakan menghilangkan diri sebelum Ramadan lalu dan gagal dikesan sehingga kelmarin, menyebabkan dia membuat keputusan membawa dua anak lelakinya itu pulang ke kampung untuk memulakan kehidupan baru.

 

Tiga beranak terbabit menaiki motosikal Honda Wave menempuh perjalanan sejauh 90 kilometer melalui Sepang sebelum terpaksa berhenti di Surau Al Hijrah Bandar Springhill dekat sini, selepas kehabisan petrol dan tiada wang.

 

Mengimbau kembali kisah hidupnya, Normaliza, suami dan anak sememangnya menetap di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Desa Mutiara, Tebrau, Johor sebelum datang ke Kuala Lumpur pada Oktober 2013 untuk ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya bagi menguruskan surat beranak anak.

 

Namun, sebaik tiba di ibu kota, pelbagai dugaan ditempuhi kerana tiada tempat tinggal dan dua anaknya iaitu Nordiana Shafiza, 12, yang ketika itu berusia 10 tahun manakala Shafiz baru berusia lapan tahun hilang.

 

Dengan bantuan pelbagai pihak, kedua-dua anaknya itu ditemui semula sebulan kemudian sebelum keluarganya dibantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk menempatkan empat anaknya di sebuah rumah kebajikan di Cheras, Kuala Lumpur, sementara dia dan suami mencari kerja.

 

“Lebih dua tahun kami hidup merempat. Saya mempunyai enam anak berusia 11 bulan sehingga 12 tahun, tetapi empat daripadanya saya tempatkan di sebuah rumah kebajikan kerana tidak mampu. Saya mengambil upah membasuh pinggan di beberapa restoran dan kadangkala mengemis demi sesuap nasi.

 

“Secara tiba-tiba suami menghilangkan diri beberapa hari sebelum menyambut Ramadan. Saya cuba mencarinya tetapi gagal, mungkin dia sudah tidak sanggup lagi hidup susah dengan saya,” katanya ketika ditemui di Surau Al Hijrah, malam kelmarin.

 

Normaliza, Shariz dan Shafiz tiba di surau berkenaan kira-kira jam 8 malam sebelum dibantu jemaah surau yang membuat kutipan dan berjaya mengumpulkan lebih RM200 untuk membantu tiga beranak terbabit meneruskan perjalanan.  – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.