Bank Negara Buru Dua Individu Bagi Bantu Siasatan 1MDB

Kuala Lumpur – Bank Negara Malaysia (BNM) sedang menjejaki dua individu untuk membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953.

 

Menerusi laman Facebook hari ini, BNM turut memuat naik dua gambar individu berkenaan iaitu, Casey Tang Keng Chee, 50, dan Jasmine Loo Ai Swan, 42, serta alamat kedua-dua mereka.

 

Tang dipercayai adalah antara perintis kepada penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), yang kemudiannya menjadi 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

 

Beliau juga dipercayai salah seorang yang berada dalam kumpulan TIA pada awal penubuhannya bersama bekas Pengarah Urusan 1MDB, Datuk Shahrol Azral Halmi.

 

Loo pula dilaporkan mula menyertai 1MDB pada 2011 bagi menggantikan Tang.

 

BNM dalam kenyataan di Facebook itu turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua individu berkenaan supaya menghubungi mereka di talian 03-26988044 ext 8554/7610 atau membuat laporan di balai polis berhampiran.

 

Bank pusat itu bagaimanapun menjelaskan tidak menawarkan ganjaran untuk maklumat yang disalurkan mengenai individu berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.