Tukar MB Selangor: Bukan Alasan Terbaik Dalam Perjudikan Kepercayaan Rakyat – Pemuda PAS

Shah Alam – Pemuda PAS Selangor mempertahankan Tan Sri Khalid Ibrahim kekal sebagai menteri besar dengan mengingatkan sebarang usaha mengganti dan melantik menteri besar baru mesti mematuhi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Ketua Pemudanya Syarhan Humaizi Abdul Halim berkata Pakatan Rakyat tidak boleh sesekali menafikan kecemerlangan beliau mentadbir negeri itu hingga ke tahap lebih baik termasuk mempertahankan Selangor pada pilihan raya umum lalu.

“Tindakan menukar menteri besar juga perlu diperhalusi dengan cermat melalui persefahaman bersama Pakatan rakyat serta mengambil kira sentimen setiap pihak yang berkait dengan proses Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri termasuk pihak Istana.

“Menjustifikasikan tindakan beralasan memperkukuhkan kestabilan PKR semata-mata bukanlah alasan yang terbaik dalam memperjudikan kepercayaan rakyat yang terbina selama ini kepada Pakatan di Selangor khususnya dan di Malaysia amnya,” katanya.

Tanpa menamakan individu yang dimaksudkan, Syarhan mengingatkan pihak yang bersungguh dalam “gerakan” menukar menteri besar supaya tidak gopoh kerana “ingin meraih untung secupak tetapi rugi segantang”.

“Amanah yang terhampar untuk kita fokus dalam memberi khidmat terbaik kepada rakyat jangan dipersiakan, ayuh kita usahakan agar Pakatan Rakyat sentiasa terkehadapan dalam menunaikan tanggung jawab ini,” katanya.

Sementara itu, Pemuda PAS Selangor juga menyokong kenyataan Pesuruhjayanya Iskandar Samad yang mahu Khalid kekal jawatannya.

Syarhan berkata ini kerana parti Islam itu lebih menitikberatkan kestabilan pentadbiran dan lebih fokus membela nasib rakyat.

Beliau menegaskan semua keputusan tersebut diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Harian Pemuda PAS negeri itu semalam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.