PKR Tidak Boleh Ketepikan Pandangan Rakyat Selangor

KUALA LUMPUR: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan kanan parti tidak boleh membuat keputusan bersabit pengguguran Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor, secara bersendirian, sebaliknya perlu meminta pandangan rakyat negeri itu secara keseluruhan.
 
Ketua Eksekutif Lensa Anak Muda Malaysia (LENSA), Safwan Anang berkata selain mengadakan referendum PKR juga perlu menjelaskan tanpa berselindung, mengapa Khalid perlu digugurkan daripada jawatan itu.  
 
“LENSA berpendapat PKR dan PR Selangor wajar memulakan satu inisiatif yang belum pernah dibuat oleh mana-mana pihak sebelum ini iaitu menjalankan referendum rakyat Selangor bagi mengutip pandangan rakyat Selangor terhadap isu yang sedang berlaku, termasuk juga dalam isu pertukaran Menteri Besar yang sedang hangat dipolemikkan.
 
“Sekurang-kurangnya rakyat diberi peluang bersuara. Referendum ini juga akan menjadi mercu tanda sebuah demokrasi baru dimulakan oleh pemimpin negeri Selangor,” katanya ketika di sidang media hari ini.
 
LENSA tampil menyatakan pendiriannya setelah Majlis Presiden Pakatan Rakyat semalam mengumumkan untuk menangguhkan keputusan untuk menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai ganti Khalid.
 
PAS dan DAP semalam memberitahu akan mengadakan mesyuarat di peringkat parti masing-masing biarpun pengumuman nama Azizah sebagai calon dibuat pada lewat malam Isnin lalu.
 
Safwan dalam masa yang sama mempertikaikan prinsip di antara 17 Asas Perjuangan Politik bahawa parti itu menuntut pemerintahan demokratik.
 
“Demokrasi yang dicanang pemimpin pemimpin pembangkang ini tidak berbeza seperti demokrasi yang dilaungkan oleh pemimpin kerajaan persektuan selama ini,” tambahnya.
 
Anwar pada Selasa yang lalu selepas Mesyuarat Majlis Pempinan Pusat (MPP) PKR mengumumkan Azizah akan dicalonkan untuk mengambilalih jawatan Khalid.
 
Kedudukan Khalid kini ibarat ‘telur dihujung tanduk’ apabila rata-rata pemimpin Pakatan Rakyat Selangor dilaporkan menolaknya sebagai Menteri Besar.
 
Penolakan itu berkisar daripada sikap Khalid sendiri yang gemar membelakangkan parti dalam pengurusan Selangor.
 
Khalid sejak daripada awal desakan berundur kedengaran dilihat mengambil pendekatan berdiam diri dan terus menjalankan tugasnya sebagai Menteri Besar.
 
Beliau juga beberapa kali memberitahu akan tetap menjadi Menteri Besar Selangor sehingga 2018 akan datang.
 
Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad juga mengingatkan PKR agar menghormati ketetapan PAS Selangor dan PAS Pusat yang masih mahukan Khalid sebagai Menteri Besar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.