Khalid Cabar Adun Selangor Kemuka Undi Tidak Percaya

Kajang – Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencabar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) supaya mengemukakan undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (Dun) jika mahu beliau berundur.

Menteri besar Selangor itu ketika ini berdepan kemungkinan disingkir, bagaimanapun bertegas ia mesti dilakukan mengikut peraturan dan proses mengikut undang-undang negeri.

“Memang boleh, saya rasa dalam tatacara pengendalian dewan, parti atau Adun secara berkumpulan boleh meminta Speaker untuk bawa apa yang dipanggil usul ke dalam Dewan,” kata Khalid semas ditemui di Kajang hari ini.

Khalid sudah menyatakan secara terbuka tidak akan berundur, malah memberi amaran Pakatan Rakyat (PR) akan hilang negeri terkaya tersebut.

Untuk menyingkirkannya, Khalid berkata beberapa proses perlu dilalui serta mengingatkan pemimpin PR negeri bahawa lantikkan beliau dibuat oleh Sultan Selangor.

“Saya dah kata, saya akan mengikut lunas enakmen-enakmen yang perlu diikuti kerajaan negeri Selangor sebab ada beberapa tatacara yang perlu dilakukan.

“Kedua apabila saya dilantik, saya juga diminta untuk angkat sembah dan sumpah sebagai menteri besar negeri Selangor,” beliau berkata.

Selangor terus bergolak selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 apabila ada pihak dalam PKR tidak setuju khidmat Khalid disambung walaupun mendapat sokongan penuh PAS dan DAP.

Untuk rekod, PAS dan DAP memiliki kerusi lebih banyak berbanding PKR.

Sejak itu, satu persatu isu dan pertelingkahan dibincangkan secara terbuka di media oleh pemimpin PR sendiri termasuk dalam isu rampasan Bible Melayu dan Iban dari pejabat Pertubuhan Bible Malaysia, serbuan perkahwinan Hindu yang pengantin wanitanya bernama Melayu dan cadangan pembinaan Lebuhraya Kidex.

Turut menjadi isu adalah penstrukturan air di Selangor yang belum selesai dan terkini adalah apabila PKR secara rasmi melalui Langkah Kajang mahu menukar Khalid sebagai menteri besar sedangkan beliau tidak bersedia untuk berundur dan mahu menghabiskan penggalnya hingga PRU14.

Turut merosakkan imej PR adalah kekecohan dalam pemilihan PKR yang selalu digunakan oleh media BN untuk memburuk-burukkan parti itu di mata umum.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sudah mengumumkan PKR memutuskan memilih presiden parti itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menggantikan Khalid sebagai MB Selangor.

Ia kemudian dimaklumkan secara rasmi dalam mesyuarat Majlis Presiden PR di Bangunan Parlimen petang semalam.

Walaupun menerima kenyataan PKR berhak menamakan Dr Wan Azizah sebagai bakal MB baru, PAS dan DAP akan berbincang di kalangan pimpinan mereka untuk menentukan pendirian.

PAS akan bermesyuarat selepas Aidiltitri yang dijangka minggu depan manakala DAP belum memaklumkan tarikhnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.