Keluarga Md Ali Md Salim Ke Amsterdam, Penuhi Hajat Terakhir Arwah

Putrajaya – Keluarga Md Ali Md Salim, seorang daripada penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di Ukraine, akan ke Amsterdam, Belanda secepat mungkin, selepas mendapat tawaran daripada MAS untuk melihat jenazah di sana.

Bapa Md Ali, Md Salim Sarmo, 65 tahun, berkata beliau akan ke sana bersama isteri, Junaidah Basiran, 62 tahun; dua anaknya, Mohd Zaki, 38 tahun; dan Noryasimah, 23 tahun; serta seorang rakan baik mangsa, Mohamad Azuwa Mohamed, 25 tahun, selepas segala urusan selesai.

Beliau berkata, mereka sekeluarga bersetuju untuk ke sana sebagai memenuhi hajat arwah sebelum ini yang ingin membawa beliau dan isteri melancong ke Amsterdam, bagi melihat tempatnya belajar.

“Kami sekeluarga sudah tidak memikirkan untuk menyambut hari raya di kampung halaman sendiri, yang penting hajat arwah dapat ditunaikan.

“Kami akan menguruskan urusan pasport secepat mungkin. Kemungkinan kami ke sana sebelum raya,” katanya selepas mendengar taklimat daripada pihak MAS di Hotel Marriot, hari ini.

Mengenai taklimat tersebut, Md Salim berkata, pihak MAS menawarkan empat wakil daripada setiap penumpang MH17 untuk ke Amsterdam, bagi melihat jenazah mangsa buat kali terakhir sebelum dibawa pulang ke Malaysia.

“Setiba jenazah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), anggota keluarga diberi pilihan untuk membawa jenazah terus ke tanah perkuburan atau pulang ke rumah untuk saudara mara serta kenalan memberi penghormatan terakhir.

“Kami sekeluarga membuat keputusan untuk membawa pulang jenazah ke rumah kami di Muar, Johor terlebih dahulu sebelum dikebumikan,” katanya.

Md Ali adalah anak keempat daripada lapan beradik yang mengikuti pengajian peringkat Doktor Falsafah (PHD) dalam bidang Development Neuropsycho Patology, di Erasmus Universiti Rotterdam, Belanda.

Beliau menaiki Penerbangan MH17 yang terhempas di Donetsk, timur Ukraine, berhampiran sempadan Rusia, pada Khamis lalu, ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Pesawat Boeing 777 itu membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.