Kabinet Putuskan, Rumah Terbuka Aidilfitri Dibatalkan

Kuala Lumpur – Rumah terbuka Aidilfitri menteri Kabinet yang biasanya diadakan di Seri Perdana dibatalkan tahun ini bagi menghormati mangsa pesawat MH17 dan keluarganya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Wee Ka Siong berkata keputusan membatalkan majlis yang biasanya diadakan pada hari raya pertama itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet semalam.

Sementara itu, The Star Online melaporkan, Majlis Rumah Terbuka Hari Raya yang dijadualkan di Dataran Rembau pada 17 Ogos juga dibatalkan.

Pengumuman rasmi mengenai pembatalan itu dijangka dibuat hari ini, lapor media itu.

Pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine minggu lalu dan semua 298 penumpang dan anak kapal maut.

Turut terbunuh adalah 43 rakyat Malaysia termasuk 15 anak kapal.

Ketika semua berharap jenazah mereka boleh dibawa pulang sebelum Aidilfitri, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata hari ini, ia agak sukar.

“Kita tidak boleh lari terpaksa melalui satu proses yang cermat dan teliti. Ini satu keperluan teknikal dan juga undang-undang,” Najib berkata selepas menandatangani buku ucapan takziah di Kedutaan Belanda di Kuala Lumpur.

Dalam tragedi yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal itu, 193 merupakan warganegara Belanda.

“Jadi, kemungkinan besar kita tidak sempat membawa mayat pulang sebelum Aidilfitri,” kata Najib.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.