Jenazah Ketua Pramugara MH17 Akan Dikebumikan Di Ampang, Selangor

Masjid Tanah – Jenazah Ketua Pramugara pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di Ukraine, Mohamad Ghafar Abu Bakar (gambar), 54, akan dikebumikan di Ampang, Selangor selepas selamat dibawa pulang ke tanah air, kata ibunya Maimon Sarpan.

Maimon, 74, berkata perkara itu dimaklumkan isteri Allahyarham, Normi Abdullah, 54, kepadanya melalui telefon pagi tadi dan pihak MAS juga sudah dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

Beliau bersetuju jenazah arwah dikebumikan di Ampang berikutan anak ketiga Allahyarham, Anif Aiman, 12, yang meninggal dunia tujuh tahun lepas juga dikebumikan di sana.

“Apa yang penting, jenazahnya selamat sampai di Malaysia dan pengkebumiannya dapat diurus dengan segera kerana hari ini sudah masuk hari ketujuh nahas,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Seri Tanjung, hari ini.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk 43 warga Malaysia sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di wilayah Donetsk, di timur Ukraine, pada Khamis lepas.

Kerajaan Ukraine percaya pesawat malang itu ditembak jatuh, tetapi sehingga kini tiada pihak yang tampil mengaku bertanggungjawab.

Maimon berkata walaupun menerima khabar gembira berkenaan dia masih sentiasa berdoa agar jenazah bapa kepada empat cahaya mata itu selamat diterbangkan ke Malaysia.

“Lebih cepat jenazah dibawa pulang, lebih baik supaya pengkebumiannya boleh disegerakan. Selagi jenazahnya tidak sampai di tanah air dengan selamat selagi itu saya tidak sedap hati,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas kejayaan rundingan beliau untuk membawa pulang mayat penumpang dan anak kapal serta kotak hitam pesawat MH17.

“Terima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri terhadap keluarga mangsa pesawat ini, daripada mula tragedi hinggalah hari ini saya tengok beliau terus berusaha membantu, syukur kita dapat Perdana Menteri seperti beliau,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.