Geng Curi Motor Di Alor Setar Diberkas

ALOR SETAR 24 Julai – Polis menahan lima sekawan yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan curi motosikal di sekitar bandar raya ini dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Simpang Empat dekat sini awal pagi kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira pukul 2.50 pagi itu, polis turut menemui empat motosikal curi dengan dua daripadanya sudah dipadam nombor casis serta enjinnya bagi mengelirukan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan berkata, empat daripada individu berkenaan termasuk ketuanya yang berusia 29 tahun adalah penganggur manakala seorang lagi bekerja sebagai mekanik. 

“Sewaktu serbuan dijalankan, kesemua mereka yang dikenali sebagai Geng Anas Simpang Empat berada dalam keadaan khayal kerana baru selesai mengambil dadah dipercayai jenis morfin. Kami percaya mereka menjalankan kegiatan tersebut bagi mendapatkan alat ganti untuk dijual.

“Berdasarkan rekod, ketuanya itu yang juga pemilik rumah berkenaan mempunyai tiga rekod kesalahan lampau iaitu memiliki kenderaan curi, memiliki barang curi dan memasukkan dadah ke dalam badan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

 Menurut Adzaman, dua daripada empat motosikal itu dilaporkan dicuri pada penghujung tahun lalu serta awal tahun ini di Alor Setar dan Simpang Empat.

 “Dua lagi motosikal yang dicanai nombor casis dan enjinnya itu pula akan dihantar ke makmal kimia untuk menjalani pemeriksaan lanjut,” katanya.

Tambah Adzaman, kes itu disiasat di bawah Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam curi kenderaan bermotor dan kesemua suspek yang berusia antara 19 hingga 29 tahun telah direman selama empat hari sehingga 26 Julai ini. – UTUSAN ONLINE

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.