KUALA LUMPUR – Pembangkang Melaka mendakwa projek Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ) mengabaikan kesejahteraan rakyat serta mengundang risiko satu lagi pembangunan ‘gajah putih’ di negeri berkenaan.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, projek mega melibatkan penambakan laut lebih 1,100 hektar merentasi 33 kilometer (km) garis pantai itu berisiko menjejaskan alam sekitar, kesihatan penduduk serta sosioekonomi komuniti setempat khususnya nelayan kecil.
Katanya, laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) menunjukkan risiko banjir akibat perubahan sistem saliran dan impak besar kepada hutan bakau serta biodiversiti termasuk penyu karah yang hampir pupus.
“Lebih 40 insiden banjir sudah direkodkan dalam radius lima km dari tapak projek sejak 2014, namun tiada pelan mitigasi konkrit dicadangkan.
“Data pemantauan kualiti udara juga menunjukkan tahap pencemaran di kawasan projek iaitu di ASR1 dan ASR3 melebihi piawaian Standard Kualiti Udara Ambien Malaysia (MAAQS) sehingga lima hingga lapan kali ganda, sekali gus menjejaskan kesihatan komuniti termasuk warga emas dan kanak-kanak.
“Siapa yang akan bertanggungjawab jika pencemaran ini mencetuskan krisis kesihatan? Malah tiada pelan sokongan atau pemulihan disediakan untuk nelayan kecil yang dijangka menanggung kerugian lebih RM12 juta setahun akibat gangguan habitat marin,” katanya lapor Utusan di Melaka.
Yadzil turut mempersoalkan nilai pelaburan RM100 bilion yang menurutnya belum disertakan dengan maklumat telus berkenaan komposisi pelaburan, pelaburan langsung asing (FDI) atau jadual pelaksanaan.
“Kegagalan projek mega sebelum ini seperti Melaka Gateway dan Pulau Melaka Twin City, jangan biarkan sejarah berulang dan rakyat sekali lagi menjadi mangsa retorik politik pembangunan.
“Sebarang pembangunan dalam zon penampan Tapak Warisan Dunia juga berisiko menggugat status Melaka, sebagaimana yang berlaku di Liverpool sebelum ini.
“Jika Melaka hilang status Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), ia bukan sahaja satu tamparan kepada maruah negara tetapi turut menjejaskan industri pelancongan negeri yang menyumbang RM12.68 bilion pada Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024,” katanya.