KUALA LUMPUR – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menegur kerenah birokrasi serta budaya Little Napoleon yang didakwa wujud dalam pentadbiran Majlis Perbandaran Kangar (MP Kangar).
Menegaskan baginda sendiri turut terkesan dengan situasi yang berlaku, Raja Perlis bertitah, pegawai mengamalkan budaya Little Napoleon dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) tunggal di negeri ini, memburukkan lagi nama MP Kangar.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, pada mulanya terdapat cadangan untuk menjenamakan MP Kangar kepada MP Perlis memandangkan PBT berkenaan menguruskan pelbagai hal ehwal membabitkan PBT di seluruh negeri ini.
Namun, titah baginda, kewujudan budaya Little Napoleon dalam kalangan kakitangan di PBT itu merencatkan lagi kualiti kerja agensi berkenaan walaupun dijenamakan semula.
“Beta melihat banyak lagi perkara yang patut diubah suai untuk memperbaiki lagi MP Kangar ini, namun tiada beza sekiranya dijenamakan semula pun jika perangai pegawai dan kakitangan masih sama, terutama dengan kerenah birokrasi dan budaya pegawai Little Napoleon.
“Masa Hari Keputeraan beta tempoh hari, beta ada sebut bahawa masih ada segelintir lagi kakitangan kerajaan yang perlu berubah fikiran dan sebagainya yang ditujukan kepada kakitangan MP Kangar.
“Bukan kerana saya hendak marah, tetapi menegur beberapa pegawai dalam MP Kangar yang berkelakuan demikian. Beta bukan hendak katakan bahawa MP Kangar tidak bagus dalam melaksanakan, mereka bagus, tetapi masih ada lagi Little Napoleon masih berkuasa di dalam PBT itu,” titah baginda lapor BH di Kangar pada Selasa.
Keadaan itu, menurut Raja Perlis, menyebabkan nama MP Kangar buruk kerana pegawai terbabit tidak melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya, sebaliknya melewat dan melambatkan proses permohonan._
“Perkara senang seperti tukar syarat pun makan masa sampai bertahun,” titah baginda pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Wisma MP Kangar di Persiaran Wawasan, di sini hari ini.
Titah baginda lagi, setiap pegawai dan kakitangan mestilah mengubah cara berfikir kepada sesuatu yang mampu membawa pembangunan kepada negeri dan rakyat.
“Sudah tiba masanya pegawai dan kakitangan di MP Kangar menukar mind set yang lama kepada yang baharu yang boleh memberikan pembangunan kepada negeri dan rakyat kerana MP Kangar ini banyak berurusan dengan rakyat jelata.
“Tiap-tiap hari rakyat datang berjumpa dengan pegawai (MP Kangar), tetapi kalaulah tidak diberikan layanan yang sewajarnya kepada rakyat, tiada makna kalau dia (pegawai) hanya duduk di bangunan baharu, selesa dengan pendingin hawa dan sebagainya.
“Yang mustahak adalah layanan kepada rakyat, perkataan mesra mestilah di dalam fikiran tiap-tiap pekerja MP Kangar. Mesra rakyat, mesra alam dan setiap pekerjaan mestilah mesra, barulah kita boleh fikir tentang tukar nama, penjenamaan baharu untuk MP Kangar,” titah baginda.
Sementara itu, Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menyambut baik teguran tegas Raja Perlis berkenaan.
“Teguran Tuanku Raja Perlis amat tegas dan serius.
“Yang Di-Pertua (YDP) MP Kangar kena bertindak segera.
“Rakyat menjunjung kasih kepada Tuanku.Dirgahayu Tuanku,” ujar Shahidan.