PN desak Anwar tak terlibat urusan pelantikan hakim-hakim kanan, elak konflik kepentingan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Dalam sebuah negara hukum (rule of law), keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi juga mesti kelihatan dilaksanakan.

Oleh yang demikian Perikatan Nasional (PN) berkata, amatlah penting untuk memastikan pelantikan hakim-hakim tertinggi ini dibuat secara bebas, telus dan tanpa sebarang pengaruh politik atau kepentingan peribadi.

Menurut Ketua Whip PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan, PN merujuk kepada perkembangan penting berkaitan pelantikan jawatan-jawatan tertinggi badan kehakiman negara, khususnya Ketua Hakim Negara (CJ) dan Presiden Mahkamah Rayuan (PCA), yang kedua-duanya akan kosong awal bulan Julai ini.

Ujar beliau, difahamkan bahawa kedua-dua penyandang jawatan berkenaan tidak ditawarkan penyambungan tempoh perkhidmatan selama 6 bulan seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan dan menjadi amalan sebelum ini. Maka, pelantikan individu baharu bagi mengisi kekosongan tersebut perlu dilakukan dalam masa terdekat.

“Dalam hal ini, PN ingin menzahirkan kebimbangan berhubung proses pelantikan yang memerlukan nasihat Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan amalan semasa.

“Apa yang membimbangkan ialah Perdana Menteri kini masih mempunyai kes yang belum selesai di mahkamah. Justeru, sebarang penglibatan beliau dalam memberi nasihat berkaitan pelantikan hakim-hakim kanan boleh menimbulkan konflik kepentingan yang nyata, sekaligus menghakis keyakinan rakyat terhadap kebebasan serta integriti institusi kehakiman negara.

“Justeru PN amat bersetuju dengan resolusi yang dibuat oleh Sekretariat Pertahan Sistem Kehakiman yang dianggotai oleh tokoh-tokoh negarawan, pakar-pakar perundangan dan pimpinan-pimpinan NGO serta masyarakat sivil yang prihatin,” kata Setiausaha Agung Pas itu.

Antara cadangan yang dikemukakan PN ialah Perdana Menteri wajar menarik diri daripada memberi nasihat dalam pelantikan ini, sekurang-kurangnya sehingga kes beliau diselesaikan di mahkamah.

“Satu mekanisme interim perlu diwujudkan, sama ada melalui sebuah Jawatankuasa Khas atau peranan lebih bebas oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bagi mengelakkan percanggahan kepentingan.

“JAC perlu diperkukuh dan dirombak agar lebih bebas daripada pengaruh eksekutif, termasuk dengan mewujudkan pengesahan silang oleh jawatankuasa pilihan Parlimen seperti diamalkan di negara-negara demokrasi lain.

“Justeru PN menyeru agar pihak kerajaan dan semua institusi berkaitan melihat isu ini dengan serius dan bertindak segera untuk memastikan proses pelantikan berjalan dengan penuh integriti, demi mempertahankan kebebasan badan kehakiman serta keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara,” kata Takiyuddin.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat