KUALA LUMPUR, – Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) mengecam sekeras-kerasnya tindakan sekumpulan mahasiswa yang membakar karikatur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam satu perhimpunan di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.
Perhimpunan tersebut dipercayai dianjurkan oleh sekumpulan mahasiswa dari beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) Sabah sebagai tanda protes terhadap isu ekonomi dan kos sara hidup, namun ia menjadi tular selepas rakaman video menunjukkan aksi membakar karikatur pemimpin negara dimuat naik ke media sosial. Tindakan itu mencetuskan kecaman meluas termasuk dari kalangan pemimpin kerajaan, pertubuhan masyarakat dan warga akademik.
“Tindakan tersebut bersifat provokatif, berlebihan dan mencemar citra institusi pengajian tinggi sebagai medan ilmu dan intelektualisme,” tegas kenyataan rasmi MPPK hari ini.
MPPK mengingatkan bahawa prinsip kebebasan bersuara yang diamalkan di kampus mestilah disertai kematangan intelektual dan kesantunan. Kebebasan berpendapat adalah teras dalam demokrasi kampus, namun tidak boleh disalahgunakan untuk mencetuskan ketegangan atau kebiadaban terhadap mana-mana pihak.
“Ia mencerminkan ketandusan pemikiran rasional serta berisiko mengganggu ketenteraman awam dan menghakis nilai kesarjanaan yang sewajarnya dijunjung tinggi,” tambah kenyataan itu.
MPPK dalam masa sama menzahirkan penghargaan terhadap sikap berjiwa besar Perdana Menteri yang mengarahkan agar tiada tindakan keras dikenakan terhadap pelajar terbabit, termasuk penamatan pengajian mereka.
“Pendekatan penuh ihsan ini mencerminkan komitmen Kerajaan untuk memastikan tiada anak muda tercicir daripada akses pendidikan hanya kerana kekhilafan yang dilakukan,” katanya.
MPPK menyeru seluruh mahasiswa agar kekal menjunjung nilai kesantunan, penghormatan dan kebebasan bersuara yang beradab dalam menyampaikan pandangan.
“Kampus harus kekal sebagai ruang intelektual yang aman dan kondusif untuk pembangunan ilmu, sahsiah dan kepimpinan mahasiswa.”
Majlis itu turut menggesa agar semua pihak menolak sebarang bentuk tindakan ekstrem yang boleh menjejaskan keamanan kampus dan negara secara keseluruhan.-SUARA.TV