Menteri Tolak Gesaan Tubuh RCI Siasat Kematian Adib

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin menolak cadangan untuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi kes kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

“Saya ingat tak perlu RCI untuk Adib pada ketika ini kerana kes ini berjalan dengan baik dan kita tunggu keputusan daripada koroner,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Jalinan Mesra Menteri KPKT bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Putrajaya, hari ini.

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) semalam mengulangi gesaan terhadap kerajaan agar menubuhkan RCI bagi kes kematian Adib.

Presidennya, Ibrahim Ali, menyifatkan inkues yang sedang berjalan sekarang sudah menjadi keraguan akan ketulenan dan ketelusannya.

Ibrahim berkata, ini kerana dua saksi utama inkues itu telah membuat laporan polis menyatakan mereka telah diugut pihak tertentu, manakala peguam yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pula telah menarik diri atas arahan Peguam Negara, Tommy Thomas.

Sementara itu mengulas perjalanan inkues berkaitan punca kematian Adib, Zuraida berkata beliau akan menghubungi peguam negara bagi mendapatkan nama peguam yang akan mewakili KPKT dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Inkues Adib akan bersambung 26 Jun ini, tetapi saya belum dapat lagi maklumat daripada peguam negara untuk menentukan siapa yang akan mewakili KPKT dan bomba.

“Jadi, hari ini saya akan semak dengan peguam negara untuk dapatkan nama-nama yang akan dicadangkan untuk mewakili KPKT dan bomba bagi kes tersebut,” katanya ringkas.

Adib, 24, meninggal dunia di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur pada 17 Dis.

Peguam Syazlin Mansor sebelum ini mengumumkan menarik diri daripada inkues berkenaan kerana terdapat ‘perkembangan baru’.

Thomas menjelaskan bahawa Syazlin dinasihat menarik diri kerana berada dalam konflik kepentingan apabila mewakili jabatan bomba dan KPKT, sedangkan pada masa yang sama mewakili keluarga Adib.

Pejabat Peguam Negara menegaskan bahawa pihak mereka tiada halangan untuk Syazlin terus mewakili keluarga Adib dan arahan untuk menarik diri hanya bagi KPKT dan bomba.

Pada 12 Jun lalu, Syazlin mengumumkan akan kembali mewakili keluarga Adib dalam inkues itu. – Mkini

Lain-Lain Berita Menarik;-

Zahid Desak Tubuh RCI, Siasat Kematian Adib

Tiada Bukti Kukuh, Tidak Boleh Tubuh RCI Siasat 1MDB – Mahathir

Kerajaan PH Tolak Desakan Tubuh Suruhanjaya Diraja (RCI) Siasat Pengurusan Tabung Haji

Mujahid Turut Tolak Desakan Tubuh RCI Siasat Pengurusan Tabung Haji

Najib Cabar Kerajaan PH Tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Buktikan Tuduhan RM16 Bilion Hilang

Tubuh RCI, Jangan Politikkan Isu TH Melalui Media, Hadi Tempelak Mujahid

Najib Gesa PH Tubuh RCI dan Siasat Tiga Projek Jika Syaki Ada Salah Laku

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.