Kalau Saya Jadi Presiden Saya Dah Pecat Haziq Dari PKR – Zuraida

PUTRAJAYA – “Nasib baik bukan saya Presiden, kalau tidak, saya dah pecat dia (Haziq).”

Itu reaksi Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin ketika ditanya mengenai perkembangan terkini kes Ketua AMK Santubong, Haziq Abdullah Abd Aziz yang masih tidak dipecat daripada parti walaupun mengaku secara terbuka terlibat dalam video seks bersama lelaki mirip seorang menteri.

Tegas Zuraida, pendiriannya amat jelas iaitu pimpinan parti perlu memecat Haziq Abdullah, namun barisan pemimpin PKR masih mahu mengikut perlembagaan parti termasuk meminta lelaki itu memberi surat tunjuk sebab dalam tempoh 14 hari.

“Sebab itu (surat tunjuk sebab) proses dalam perlembagaan parti, sebelum kita pecat sesiapa kita kena ada proses tunjuk sebab.

“Jadi itu jalan yang dibuat parti (PKR),” katanya ketika ditemui Majlis Jalinan Mesra bersama warga Jabatan Bomba dan Penyelamat, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan PKR yang masih tidak memecat Haziq Abdullah daripada parti malah diberi surat tunjuk sebab untuk dijawab dalam tempoh 14 hari.

Rabu lalu, biro politik PKR membuat keputusan untuk memberikan surat tunjuk sebab kepada Ketua Pemuda PKR Santubong itu yang disifatkan mencemarkan nama parti.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PKR, Ahmad Kassim berkata, pihaknya turut mengambil maklum penafian Timbalan Presiden, Datuk Seri Azmin Ali dan akan meneliti penjelasan sekiranya ada.

Sehingga Sabtu lalu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, parti itu masih belum menerima sebarang surat tunjuk sebab daripada Haziq Abdullah. – UTUSAN

2 thoughts on “Kalau Saya Jadi Presiden Saya Dah Pecat Haziq Dari PKR – Zuraida

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.