Warga Emas Buntu Direkodkan Sudah Meninggal Dunia

KUALA NERANG – Seorang lelaki warga emas buntu selepas tidak dapat menyelesaikan urusan pendaftarannya ke rumah kebajikan kerana rekod di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan dia sudah meninggal dunia.

Hashim Ahmad, 76, yang kini terlantar di Hospital Kuala Nerang akibat penyakit angin ahmar tinggal sebatang kara selepas menjadi orang buang daerah ke Padang Terap sejak lebih 30 tahun lalu, akibat jenayah berat dilakukannya sebelum ini.

Rentetan itu, Hashim yang berasal dari Batu Pahat berhasrat menetap di rumah kebajikan akibat masalah kesihatan yang dihadapi, namun permohonannya itu tidak dapat diproses rekod JPN menunjukkan dia sudah meninggal dunia.

Penjaganya, Noor Intan Diana Md Hussain, 30, berkata mereka hanya mengetahui berhubung perkara itu selepas dimaklumkan pihak hospital ketika Hashim menerima rawatan di situ kira-kira dua minggu lalu.

Noor Intan berkata, mereka kemudian ke Balai Polis Padang Terap untuk tindakan susulan, namun pihak polis mengesahkan nombor kad pengenalan milik Hashim didaftarkan sudah meninggal dunia.

“Selepas itu saya pergi pula ke JPN Padang Terap dan mereka mengesahkan perkara itu dan mendakwa sudah mengetahui mengenai hal berkenaan dan proses siasatan mengenainya sedang dilakukan.

“Namun saya minta supaya proses siasatan diselesaikan dengan cepat berikutan pakcik Hashim perlu dimasukkan ke rumah kebajikan dengan kadar segera kerana dia tidak mempunyai waris terdekat yang boleh menjaganya,” katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Nerang, di sini, hari ini.

Noor Intan berkata, dia dimaklumkan bahawa Hashim mempunyai isteri dan dua anak menetap di Johor, namun mereka sudah terputus hubungan selepas warga emas itu dijatuhi hukuman sekitar 1980-an.

Noor Intan yang sudah lebih 10 tahun mengenali Hashim berkata, selama ini warga emas itu menjalani kehidupan sendirian dengan menyewa di Kampung Baru, dekat sini.

Sementara itu, Hashim yang mengalami kesukaran bercakap akibat penyakitnya itu mengakui tidak tahu bahawa dirinya sudah ‘disahkan’ meninggal dunia.

Hashim berkata, dia berharap proses urusan ‘membersihkan’ namanya mampu dipercepatkan bagi memudahkan proses kemasukannya ke rumah kebajikan untuk jagaan rapi.

“Saya tak berharap nak jumpa anak atau ahli keluarga namun cukuplah sekadar urusan kad pengenalan saya selesai supaya saya boleh masuk ke rumah kebajikan,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.