Siti Kasim Ditahan Polis, Atas Dakwaan Menculik

KUALA LUMPUR – Peguam kontroversi, Siti Zabedah Kasim ditahan pihak polis atas dakwaan menculik dan menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas.

Tangkapan yang disiarkan secara langsung melalui aplikasi Facebook itu, dikatakan berhubung dengan seorang gadis yang merupakan anak guam Siti.

Keluarga gadis itu sebelum ini dikatakan telah membuat satu laporan polis mendakwa anaknya yang “tidak stabil secara mental” dan “akidahnya dipersoalkan” telah hilang dari rumah.

Melalui klip video tersebut, Siti mendakwa pihaknya hanya ingin menyelamatkan gadis tersebut dari ibunya yang gila.

Siti yang juga merupakan aktivis itu dikatakan telah mengurung anak guamnya secara paksa.

Seorang gadis yang dipercayai anak guam kepada Siti, kemudiannya dilihat menjerit dari bilik sebelah sambil mendakwa dia tidak di culik.

Siti kemudiannya berkata akan memaklumkan perkara tersebut kepada Ketua Polis Negara sambil menuduh pihak polis gagal menjalankan tugas seperti yang diperuntukkan melalui undang-undang.

Pihak polis bagaimanapun bertegas untuk menahan Siti dengan mengunakan gari namun dibantah atas alasan pihaknya akan memberikan kerjasama.

Rakan kepada Siti turut mempersoalkan tindakan tersebut sebelum pihak polis mengarahkan mereka keluar bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Sebelum ini, dalam kenyataan di Facebook Khamis lalu, Siti mendakwa anak guamnya meninggalkan rumah ibu-bapanya kerana “takut” dengan ibunya.

Siti juga mendakwa anak guamnya “diperangkap” oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan polis yang “menunggu untuk menangkap” anak guamnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.