Siti Kasim Akan Dibebaskan, Mahkamah Tolak Permohonan Reman

Mahkamah Majistret Kajang hari ini menolak permohonan reman terhadap peguam aktivis, Siti Zabedah Kassim atau Siti Kassim.

Susulan keputusan itu, Siti yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Kajang awal hari ini dijangka dibebaskan dalam masa terdekat.

Terdahulu, polis menahan peguam itu di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu menculik dan Seksyen 186 kanun sama iaitu menghalang tugas penjawat awam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata penahanan dibuat susulan laporan oleh seorang wanita.

Laporan itu mendakwa anaknya yang berusia 24 tahun dilarikan oleh Siti sewaktu menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Kajang.

Selain itu, satu lagi laporan berasingan turut dibuat oleh anggota polis berhubung kekecohan yang berlaku di hospital tersebut susulan insiden itu.

Fadzil mengesahkan polis berjaya mengesan gadis tersebut di sebuah kondominium di Segambut kira-kira jam 9 malam Sabtu.

Gadis itu kemudian dihantar semula ke Hospital Kajang untuk meneruskan prosedur pemeriksaan. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.