Pemandu Grab Ditemui Mati Dalam Kereta Dipercayai Dibunuh

GOMBAK – Mayat seorang pemandu Grab ditemui di dalam kereta miliknya yang berada di kawasan tempat letak kenderaan di Taman Selayang Makmur, Selayang, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.20 malam itu, mangsa yang berusia 27 tahun ditemui sudah meninggal dunia dalam keadaan terlingkup di tempat duduk belakang kereta Perodua Myvi berkenaan dengan bahagian kepala di bawah mengenai lantai kenderaan itu, manakala kakinya di atas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Tey Kong Seng berkata, anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang sedang membuat rondaan di Pondok Selayang Baru dimaklumkan oleh bapa tiri lelaki terbabit untuk membuat pemeriksaan di dalam kereta mangsa di kawasan berkenaan.

“Sebaik tiba di lokasi, anggota berkenaan menemui mangsa di tempat duduk bahagian belakang kereta terbabit dalam keadaan bahagian kepala di bawah mengenai lantai kenderaan itu, manakala kakinya di atas.

“Pihak Hospital Selayang yang dihubungi berada di lokasi dan mengesahkan mangsa yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan, sudah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini,

Kong Seng berkata, hasil siasatan awal mendapati tiada kesan kecederaan ketara ditemui pada badan mangsa.

“Bagaimanapun, terdapat kesan melecet pada leher mangsa. Kami tidak menemui sebarang senjata di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) di sepanjang jalan masuk ke lokasi kejadian. Malah, tiada saksi yang melihat kejadian berkenaan,” katanya yang memaklumkan pemeriksaan turut dibantu oleh Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Beliau berkata, pihaknya merampas dua telefon bimbit, kasut, stokin dan baju T yang ditemui di dalam kereta berkenaan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.