Turki Selar Pembukaan Masjid Liberal Di Berlin  

ISTANBUL – Sebuah agensi hal ehwal agama di sini mengecam pembukaan masjid liberal di Berlin, Jerman yang membenarkan lelaki dan wanita menunaikan solat secara bersama-sama dengan menegaskan bahawa amalan itu jelas bertentangan dengan syariat Islam.

Menurut AFP, Diyanet yang menyelia aktiviti keagamaan di Turki dan Jerman berkata, idea pembukaan masjid seperti itu dilihat selaras dengan beberapa projek dike­tuai kumpulan pengikut Fethullah Gulen yang gagal merampas kuasa pada 15 Julai tahun lalu.

Menurut laporan, masjid li­beral yang dibuka pada awal bulan ini membenarkan golongan wanita dan lelaki menunaikan solat secara bersama-sama selain dibolehkan wanita menjadi imam kepada makmum lelaki.

Sementara itu, Diyanet menentang sekeras-kerasnya fahaman sebilangan penyokong di masjid itu yang mendakwa konsep berkenaan bertujuan membolehkan umat Islam fahaman liberal menyembah Tuhan secara bebas, lapor Kosmo.

Sehubjngan itu, Diyanet berkata, masjid berke­naan telah mengabaikan beberapa syariat Islam dan secara terang-terangan tidak bersesuaian dengan ajaran agama Islam, pengetahuan dan metodologi yang dihimpunkan sejak Islam diasaskan oleh Nabi Muhammad SAW kira-kira 14 abad lalu.

“Ia adalah jelas bahawa projek ini telah dijalankan sejak beberapa tahun lalu oleh pengikut Gulen dan beberapa pertubuhan ajaran sesat lain,” kata Diyanet dalam satu kenyataan.

Diyanet merupakan sebuah agensi berpengaruh dalam kalangan penduduk Islam tempatan menerusi pertubuhan Ditib yang dikawal oleh kerajaan Turki. Agensi itu menguruskan kira-kira 900 masjid selain beberapa komuniti keagamaan di Jerman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.