Syamel Teringin Rakam Lagu Raya Lama

KUALA LUMPUR: Sejak minggu lalu, stesen radio tempatan kerap memutarkan lagu raya bagi membangkitkan mood balik kampung dan menyambut ketibaan 1 Syawal.

Biarpun banyak gubahan baharu, lagu raya lama yang dirakamkan pada era 1970-an hingga 1980-an tetap menjadi pilihan berikutan sarat elemen nostalgia serta malar segar.

Bagi penyanyi yang dikesan bakatnya melalui program realiti, Akademi Fantasia (AF), Syamel, ada dua lagu raya digemarinya malah dekat dengan jiwa anak muda ini.

“Lagu itu adalah Salam Aidilfitri dan Lambaian Aidilfitri yang dipopularkan dua bintang legenda bervokal mantap, Datuk Jamal Abdillah dan Saleem.

“Kalau diberi peluang, Syamel mahu merakamkan semula dua lagu itu,” katanya kepada BH Online. Berkongsi pengalaman bertemu idolanya, Jamal, Syamel berkata:

“Tahun lalu, ketika membuat persembahan di Rumah Terbuka Perdana Menteri, saya berpeluang menyanyikan lagu Lambaian Aidilfitri bersama Datuk Jamal.

“Saya menangis apabila dapat berjumpa dengannya,” katanya.

Syamel yang juga anak jati Kuala Lumpur, menyambut Aidilfitri bersama ibu bapa termasuk datuk dan neneknya, di sini.

“Datuk dan nenek Syamel di kedua-dua belah emak dan ayah memang orang Kuala Lumpur.

“Mereka menetap di Cheras dan jarak antara kediaman mereka dengan rumah Syamel hanya 20 minit.

“Jadi dapatlah rasa nikmat 20 minit untuk pulang ke kampung halaman,” katanya berseloroh.-Bharian

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.