Seruan Najib Disambut Pengarah

Penggiat seni wajar memperbanyakkan karya berunsur patriotisme dan nilai-nilai murni untuk menyemai rasa cinta kepada negara khususnya di kalangan golongan muda, kata penerbit dan pengarah, Datuk Yusof Haslam.

Katanya, walaupun filem bercorak kenegaraan atau pembinaan bangsa sukar menandingi populariti drama dan filem komersial, usaha untuk memperbanyakkan karya seumpama itu harus diteruskan.

“Kalau kita tidak buat kisah yang boleh membentuk masyarakat, golongan ini akan terus hanyut dan tiada semangat cintakan negara,” katanya kepada Malaysiakini.

Yusof mengulas gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini agar karyawan membantu menghasilkan karya yang dapat mendidik masyarakat ke arah kebaikan.

Berucap pada majlis berbuka puasa bersama anak seni di Putrajaya, Najib juga menyarankan penggiat seni agar menghasilkan naskah berunsur patriotik atau yang mengetengahkan nilai-nilai murni dalam masyarakat.

Justeru Yusof yang mempopularkan drama bersiri Gerak Khas itu turut mencadangkan agensi seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diketengahkan agar masyarakat faham fungsi dan peranan mereka.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Sutradara Filem Malaysia (FDAM) Syed Zulkifli Syed Masir berkata, meskipun bersetuju dengan saranan tersebut, aspek komersial juga perlu diambil kira dalam penghasilan sesuatu karya.

Berjuang capai kesempurnaan

Malah, katanya, saranan perdana menteri juga telah disahut menerusi filem eksperimen terbarunya, Hijabista Ballet yang akan ditayangkan pada 3 Ogos depan.

Katanya, kisah dipaparkan menerusi Hijabista Ballet menyentuh nilai-nilai murni yang boleh membina bangsa sekaligus mengajak masyarakat berusaha untuk maju.

Dalam pada itu, Syed Zulkifli berkata, untuk menghasilkan kandungan mengandungi unsur patriotisme pula, ia tidak semestinya memaparkan perjuangan di medan perang atau bercorak kepolisan semata-mata.

Sebaliknya kata Syed Zulkifli tafsiran mengenai patriotisme perlu dilihat dengan lebih meluas.

“Kalau kisah itu memaparkan perjuangan untuk mencapai kesempurnaan dan kecemerlangan demi manfaat bangsa dan negara, maka saya anggap ia sebagai patriotik,” katanya.

Hijabista Ballet mengisahkan seorang penari balet yang ingin mengejar impian tetapi pada masa sama terpaksa mengharungi cabaran apabila nalurinya mahu dia berhijab.

Menurut Syed Zulkfili, patriotisme tidak semestinya memaparkan perjuangan di medan perang atau bercorak kepolisian semata-mata kerana tafsirannya perlu lebih meluas.

“Kalau kisah itu memaparkan perjuangan untuk mencapai kesempurnaan dan kecemerlangan demi manfaat bangsa dan negara, maka saya anggap ia sebagai patriotik,” katanya.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.