Peronda Trafik Bandar Yang Cantik Lagi Tinggi Lampai

Berpakaian seragam blazer biru gelap, kemas bertali leher berkemeja putih di dalamnya dan berskirt di paras lutut, lengkap bertali pinggang serta berkasut hitam, kelihatan seorang wanita cantik sedang berdiri di tengah-tengah bulatan sebuah jalan raya di Pyongyang, Korea Utara.

Sambil tangan kanannya meniup wisel dan sebelah lagi memegang baton lampu diod pemancar cahaya (LED), tugas wanita tersebut adalah untuk mengawal lalu lintas di situ.

Situasi berkenaan merupakan pemandangan biasa yang akan dilihat setiap kali melalui persimpangan jalan raya utama di negara komunis itu, malah ia juga telah menjadi lambang ibu kota Korea Utara, lapor Kosmo.

Ditempatkan di sekitar lokasi strategik Pyongyang, wanita ini juga berperanan sebagai pembantu pelancong.

Dengan warna pakaian yang menonjol, gadis-gadis ini akan memakai uniform berbaju biru gelap pada musim panas, manakala berbaju sejuk berbulu pada musim sejuk.

Seringkali dianggap sebagai sebuah negara yang mempunyai reputasi buruk dan bertindak kejam terhadap pegawai kerajaan di bawah pemerintahan diktator Korea Utara, Kim Jong-un.

Namun, di sebalik ketegasan tersebut, Jong-Un disifatkan lebih ‘kejam’ apabila meletakkan wanita cantik sebagai pegawai polis trafik untuk mengawal lalu lintas di Pyongyang.

Selain itu, ia juga dianggap sebagai satu amalan eksploitasi terhadap wanita kerana pengambilan kerja bagi jawatan berkenaan hanya diluluskan sekiranya individu itu melepasi garis panduan kecantikan oleh pemerintah Korea Utara.

Dalam pada itu, menurut laporan International Business Times, untuk menjadi polis trafik di Pyongyang, piawaian yang tinggi ditentukan sendiri oleh Jong-un.

Beliau secara peribadi hanya memilih wanita yang tinggi lampai dan cantik untuk membuat rondaan trafik di pusat bandar.

Setiap pemohon mesti memenuhi kriteria dan keperluan fizikal tertentu bagi menjawat kedudukan yang sangat berdaya saing dan berprestij itu.

Antara syarat untuk melepasi kelayakan tersebut ialah seseorang wanita itu sekurang-kurangnya mempunyai ketinggian 165 sentimeter dan berumur antara 16 tahun hingga 26 tahun serta bujang.

Calon yang dipilih Jong-un tidak terhad pada penampilan semata-mata, beliau telah mensyaratkan semua calon wajib menamatkan pengajian sekolah menengah.

Had umur

Salah seorang pegawai kanan Kementerian Keselamatan Awam yang enggan dikenali menjelaskan, kerjaya berkenaan memerlukan seseorang itu bersara pada umur 26 tahun dan akan ditamatkan perkhidmatan sekiranya bercadang untuk mendirikan rumah tangga.

“Mempunyai anggota wanita seramai 300 orang dan tidak berstatus janda, kerjaya itu bagaimanapun tiada had umur dikenakan kepada kira-kira 400 anggota lelaki polis trafik yang lain.

“Peraturan ini dikenakan kerana kebiasaannya wanita di negara ini akan berkahwin pada umur 26 atau 27 tahun. Oleh itu, peranan mereka agak sukar untuk dilakukan seperti biasa selepas mereka berkahwin,” katanya.

Dalam pada itu, bagi Kapten Kanan Polis Trafik Wanita Pyongyang, Ri Myong-sim, 24, berkata, dia mesti melaksanakan setiap tugas atau tindakan dengan disiplin ketat dan penuh semangat.

Jelasnya, menjalani latihan yang sukar dan berulang-ulang ketika mula-mula menyertai pasukan polis trafik wanita ini amat memenatkan.

Anak patung Barbie

SEORANG polis trafik wanita Korea Utara dilihat sedang mengawal lalu lintas di jalan raya utama Pyongyang.

“Setiap kali saya merasakan sebegitu, saya akan cepat-cepat berfikir tentang pemimpin kami, Kim Jong-un, malah beliau hanya mahu kami berbakti dan memberi kebahagiaan kepada rakyat.

“Justeru, ia membuatkan saya boleh berlatih sepanjang malam dan meneruskan pada keesokan harinya tanpa berasa letih langsung,” katanya yang berdiri di tepi persimpangan jalan Changjon, Pyongyang.

Tambah Myong-sim, pasukan polis wanita trafik Pyongyang diperkenalkan sekitar tahun 1980-an, bagaimanapun pada masa itu tidak banyak kereta di atas jalan raya.

Namun, peningkatan kenderaan kebelakangan ini berlaku kerana pihak pemerintah meliberalisasikan ekonomi di Pyongyang sekali gus wujudnya pertambahan pemilikan kenderaan rakyat Korea Utara.

Secara rasmi dikenali sebagai pegawai keselamatan trafik oleh pemerintah, kesemua polis trafik wanita ini dipilih untuk menjaga lalu lintas di Pyongyang supaya lancar.

Pada masa sama mereka juga memastikan masyarakat setempat dan pelancong mendapat perkhidmatan yang terbaik.

Terdapat sebuah laman web yang dikendalikan oleh peminat dan bekas anggota dalam kalangan polis trafik wanita iaitu pyongyangtrafficgirls.com.

Platform berkenaan bertujuan untuk memaklumkan perkembangan semasa mengenai polis trafik wanita termasuk gambar, video, dan anugerah bulanan Polis Trafik Wanita Pyongyang kepada para peminat untuk mengundi mereka.

Selain itu, para peminat berpeluang membeli anak patung edisi khas Barbie berpakaian polis trafik atau kalendar yang ditempah khas memaparkan gambar-gambar wanita di laman web berkenaan.

Laman web itu juga memaparkan ribuan rayuan yang bercita-cita ingin menjadi pegawai polis trafik Pyongyang. Faktor ini disebabkan gaji dan insentif yang mereka peroleh jauh lebih tinggi berbanding pekerjaan lain.

Antara insentif yang mereka terima ialah perumahan percuma, penjagaan kesihatan dan diberi keutamaan untuk pengajian siswazah serta kerjaya lain selepas kontrak mereka tamat.Begitupun, mereka hanya menerima gaji bulanan kira-kira 3,500 won Korea Utara (RM128) sahaja.

Sumber daripada laman web berkenaan juga melaporkan, wanita-wanita ini amat diminati oleh golongan lelaki di Korea Utara kerana kecantikan dan keberanian mereka.

Pada tahun 2013, salah seorang pegawai polis wanita trafik dianugerahkan Hero Republik kerana telah menyelamatkan nyawa pemimpin mereka, Jong-un daripada ditimpa kemalangan di jalan raya di pusat bandar Pyongyang.

Sementara itu, pengurus besar agensi pelancongan, Koryo Tours, Simon Cockerell, berkata, polis trafik wanita Korea Utara merupakan perkara terbaik untuk dijadikan subjek foto untuk pelancong yang datang ke Pyongyang.

Positif

“Mereka bukan sahaja mengawal lalu lintas tetapi pada masa sama turut menerangi jalan-jalan utama di Pyongyang pada waktu malam apabila baton LED di tangan mereka dinyalakan.

“Saya tidak percaya apabila terdapat pelancong yang telah melawat Pyongyang sebelum ini tidak mengambi sekeping gambar seorang pun polis trafik wanita ketika mengawal lalu lintas.

“Tidak keterlaluan jika saya memanggil mereka ini ikonik kepada industri pelancongan di Korea Utara,” katanya yang telah menjadi pemandu pelancong lebih 15 tahun.

Ternyata dengan meletakkan wanita di jalan-jalan utama di Pyongyang membuahkan hasil positif apabila Agensi Berita Pusat Korea Utara sendiri melaporkan kadar kes kemalangan jalan raya dan bunuh diri di ibu kota berkenaan telah turun secara mendadak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.