Lagu Raya Pilihan Peminat

Setiap kali menjelangnya lebaran, sambutannya tentunya tidak akan lengkap jika tidak diiringi dengan dendangan lagu raya.

Setiap tahun, ada juga beberapa artis hadir dengan karya terbaru bagi mengisi permintaan peminat.

Namun begitu, rata-rata masih mahukan lagu-lagu lama yang malar segar kerana ia mampu mengimbau kenangan beraya.

Berikut adalah 10 lagu raya yang menjadi pilihan pembaca Harian Metro di laman sosial.

Sesuci Lebaran (Datuk Siti Nurhaliza)

Lagu ciptaan Pak Ngah dendangan Datuk Siti Nurhaliza ini sememangnya ‘berhantu’.

Kehadiran lagu ini sekitar 2003 sememangnya mencuri tumpuan ramai dengan rentak tradisional yang diadun dengan melodi ‘catchy’.

Secara ringkas, Sesuci Lebaran mengajak pendengar membersihkan jiwa, berdoa kepada Ilahi, memohon restu ayah dan ibu, membantu golongan susah selain bergembira.

Nazam Lebaran (Datuk Siti Nurhaliza)

Sebuah lagi lagu Datuk Siti sempena Aidilfitri yang kerap berkumandang di radio dan skrin TV.

Kekuatan Pak Ngah sebagai komposer sekali lagi diterjemahkan dalam lagu Nazam Lebaran. Berbanding Sesuci Lebaran yang berpengaruh dangdut dan Arab, Nazam Lebaran lebih kepada rentak inang dengan lirik yang berkias tinggi melambangkan budaya Melayu.

Ia mengajak menyucikan jiwa dan kembali kepada fitrah kehidupan yang mulia dan diberkati.

Suasana Hari Raya (Anuar Zain & Ellina)

Mencecah usia 30 tahun, lagu Suasana Hari Raya ciptaan komposer Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan ini sentiasa memikat hati pendengar dengan petikan gitar pada intro melodinya yang berentak inang.

Kemeriahan tergambar dalam lirik ciptaan Habsah Hassan itu yang menceritakan perasaan ibu dan ayah menyambut kepulangan anak rantau disusuli budaya ziarah menziarahi dan pemberian duit raya. Usik mengusik antara Anuar dan Ellina begitu bersahaja.

Indahnya Beraya Di Desa (Azlina Aziz)

Ini lagu pop dangdut paling menarik ciptaan S Atan. Ia benar-benar menceritakan suasana beraya di kampung yang cukup meriah sekali. Lengkap dengan segala macam elemen raya serta ditambah dengan kelunakan suara si penyanyinya Azlina Aziz, lagu ini tidak boleh tidak, mesti ke udara di radio menjelang Aidilfitri dan menjadi semakin ‘evergreen’.

Pulanglah (Aishah)

Kemampuan Aishah menyanyikan lagu Melayu Asli sudah lama terbukti. Maka lahirlah sebuah lagu raya berentak asli berjudul Pulanglah ciptaan Adam Ahmad.

Lagu ini membuatkan hati pendengar menjadi begitu sayu tatkala mendengar rintihan suara Aishah yang meluahkan soal perpisahan, kerinduan serta kekecewaan sehingga terpaksa menyambut Aidilfitri sendirian.

Satu Hari Di Hari Raya (Datuk M Nasir)

Lagu pop dangdut yang tercipta pada era 1980-an ini cukup ikonik buat sang pencipta dan penyanyinya, Datuk M Nasir.

Tidak lengkap raya tanpa lagu ini selain lagu wajib dendangan P Ramlee dan Saloma.

Satu Hari Di Hari Raya begitu meresap jiwa pendengar kerana ia mengangkat kebesaran Tuhan yang mencipta alam ini yang disinari cahaya indah. Di samping itu, lagu ini juga memuliakan kedudukan ibu bapa yang membawa erti kebahagiaan sebenar buat manusia di hari mulia.

Selamat Hari Raya (Allahyarham Puan Sri Saloma)

Lagu pop yang bunyinya cukup retro. Antara lagu ‘evergreen’ hari raya yang menggambarkan keseronokan menyambut Aidilfitri oleh semua golongan miskin atau kaya yang semuanya pasti memakai baju baru. Lagu ini juga punya ‘trademark’ tersendiri kerana adanya suara kanak-kanak mencelah dan meminta kuih sepotong.

Dendang Perantau (Allahyarham Tan Sri P Ramlee)

Intro gitar elektrik dalam lagu ini sudah cukup memberi indikasi bahawa hari raya sudah hampir tiba. Asasnya lagu ini adalah suara hati anak perantau yang merindui kekasih, insan tersayang, kampung halaman serta ayah bonda. Masa yang berlalu tentunya tidak akan kembali lagi dan semua itu tersurat dalam senikatanya. Pastinya suara merdu P Ramlee itu sendiri memberi impak besar kepada lagu ini.

Aidilfitri Di Alaf Baru (Datuk Siti Nurhaliza, Noraniza Idris, Liza Hanim, New Boyz & Anis Suraya)

Lagu raya artis SRC ini menjadi antara lagu raya pilihan ramai kerana gabungan suara popular terutama Siti Nurhaliza, Noraniza Idris dan Liza Hanim. Kemeriahan begitu tergambar dalam lagu Irama Malaysia ini dan masing-masing mengalunkan dengan lunak serta lenggok tersendiri termasuk gaya berzanji.

Hari Raya (iamNEETA, Najwa Latif, Deanna Hussin & Mimie Haris)

Tidak mudah untuk lagu raya generasi baru mendapat perhatian dan bersaing dengan lagu lama. Namun begitu, tuah ada pada lagu Hari Raya ciptaan Patrick Anohada.

Disampaikan secara kolaborasi oleh penyanyi generasi baru iaitu iamNEETA, Najwa Latif, Deanna Hussin dan Mimie Haris, Hari Raya menampilkan melodi yang menarik dan lirik yang ‘simple’. Ia kedengaran comel apabila dinyanyikan mereka.

Video muzik lagu ini juga menampilkan artis-artis itu beraya bersama peminat dan secara tidak langsung, ia terasa dekat dengan hati pengikut mereka.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.