Filem Terakhir Jupe Mungkin Tak Dapat Ditayang


Pemergian buat selama-lamanya selebriti Indonesia Julia Perez sejak 13 hari lepas meninggalkan duka mendalam buat peminat dunia hiburan terutama di republik itu.

Dan mungkin ramai tidak menyangka pelakon dan penyanyi yang mesra disapa Jupe itu sempat berlakon buat kali terakhir malah naskhah berkenaan juga masih belum ditayangkan.

Khabar mengejutkan itu didedahkan oleh aktor Gandhi Fernando di media sosial 10 hari selepas Julia meninggal dunia.

Filem terakhir yang dilakonkan Julia, 36, diberi judul Doa Untuk Cinta. Karya berkenaan dihasilkan oleh produksi Putaar Filem.

Proses penggambaran dikatakan bermula sejak awal 2016 di Singkawang, Kalimantan Barat sekurang-kurang selama lima hari.

Namun, sayangnya, Doa Untuk Cinta berkemungkinan besar tidak dapat menemui peminat di layar perak kerana ketika itu keadaan Julia semakin memburuk hingga penggambaran terpaksa dihentikan.

“Ramai betul yang bertanyakan hal ini. Betul filem allahyarhamah @juliaperez #DoaUntukCinta tidak akan tayang kerana belum selesai penggambaran. #JupeInspirasi,” tulisnya.

Penyanyi Aku Rapopo itu diberi peranan untuk menggalas watak Desi, sementara Gandhi membawakan watak Hafiz.

Kali terakhir arwah Julia pernah tampil dalam sebuah filem yang disiarkan di pawagam adalah Merry Riana: Mimpi Sejuta Dolar pada 2014.

Namun nama Julia dikatakan lebih menyerlah dalam bidang nyanyian dan juga pengacaraan.

Julia menghembuskan nafas terakhir pada 10 Jun lalu tetapi sebelum itu dia sempat menjalani rawatan intensif sejak awal tahun ini.

Jenazahnya dikebumikan di Pondok Ranggon, Jakarta Timur, beberapa jam selepas dia disahkan meninggal dunia.-Malaysiakini


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.