Debaran Siti Saleha

JIKA orang lain berasa teruja untuk menyambut Lebaran esok, lain pula ceritanya dengan aktres berdarah kacukan ini.

Bukan hanya teruja, Siti Saleha mengakui perasaannya kini bercampur baur apatah lagi majlis bersejarahnya akan berlangsung dalam tempoh sebulan lagi.

Tidak hanya mengenang hari bersejarahnya itu, Lebaran kali ini menyaksikan kali terakhir gadis berusia 27 tahun ini menyambut dengan status single.

 

“Kalau ditanya perasaan saya nak bergelar isteri, saya tak tahu bagaimana nak ekspresikan lagi.

“Tapi bila mengenangkan ini adalah hari raya terakhir saya sebagai single lady, ia membuatkan saya rasa berdebar juga,” katanya ketawa.

Biarpun sibuk melakukan persiapan kahwin, Saleha berkata, dia juga sempat membuat persiapan menyambut raya.

Katanya, tahun ini rezekinya agak murah apabila mendapat lebih 10 pasang baju raya.

“Saya ada menjadi model untuk beberapa jenama, jadi mereka sponsor saya baju raya. Tidaklah terlalu banyak, adalah dalam 10 pasang.

“Insya-ALLAH tahun ini juga saya merancang untuk memasak rendang, walaupun sebelum ini saya sering cakap saya nak masak, tapi ia tak terjadi kerana saya bekerja di bulan Ramadan.

“Cuma tahun ini saya sudah bercuti dari awal dan saya ada masa yang cukup untuk persiapan dan memasak,” ujarnya.

Mengenai menu istimewa tunangnya, Lutfi Azhar, 31, Saleha berkata, Lutfi gemar mi soto ayam.

“Saya taklah pandai masak, tapi adalah belajar. Cuma janganlah harapkan saya terus pandai belajar masak bila nak kahwin.

“Perlahan-lahan belajar, lagipun bukan nak puji diri sendiri, tetapi saya seorang yang cepat belajar dan boleh lah masak sikit-sikit,” jelasnya.

Berkongsi mengenai perihal persiapan kahwinnya pula, Saleha yang terkenal dengan watak Mia Adriana menerusi drama 7 Hari Mencintaiku ini masih sibuk membuat persiapan.

Proses persiapan perkahwinan kini sudah melebihi 50 peratus dan dia bertuah kerana mempunyai sistem sokongan yang baik.

“Sejak Mei lagi persiapan memang giat dilakukan. Saya bertuah kerana ada support system yang baik dan mereka banyak membantu saya.

“Insya-ALLAH apa yang saya harapkan majlis itu akan berjalan dengan lancar, tapi tidaklah bermakna saya harapkan semua perfect, saya faham tiada apa yang sempurna, tapi saya mahu orang datang majlis saya dan semua rasa gembira,” katanya.

Dia juga sempat mendapatkan nasihat dari adiknya yang terlebih dahulu mendirikan rumah tangga.

“Dengan abang saya malu, tapi saya rapat dengan adik, jadi adalah yang dia nasihatkan, antaranya untuk lebih bertolak ansur dan bersabar.

“Pastinya nasihat dia akan saya jadikan panduan,” jelasnya.

Rindu berlakon

Sementara itu, kata Saleha, Syawal ini telefilem lakonannya, Memori Pajeri Nanas akan disiarkan di saluran Astro.

“Kalau ikutkan Pajeri Nanas adalah naskhah terakhir lakonan saya sebelum saya mula bercuti Mei lalu.

“Sejujurnya saya dah mula rindu untuk kembali ke set dan Insya-ALLAH saya akan kembali aktif selepas selesai semua majlis resepsi.

“Alhamdulillah Lutfi tidak menghalang saya kembali berlakon, cuma selepas ini saya sendirilah yang meletakkan had dalam lakonan.

“Mungkin juga saya tidaklah rancak sangat berlakon kerana saya mahu ada masa yang boleh saya luangkan bersama dia dan keluarga,” akhirinya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.