Awie Kongsi Petua Jaga Suara, Pegunkan Khalayak

KUALA LUMPUR – Penyanyi rock, Datuk Awie, terus mempamerkan persembahan vokal baik selepas tiga dekad berada dalam dunia seni suara.

Sehubungan itu, setiap kali muncul di pentas menjayakan persembahan, suara serak basah Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, masih mampu memegunkan khalayak yang mendengar.

Vokalis Wings itu sekali lagi membuktikan vokalnya berada pada kelas berbeza apabila menjayakan acara Raikan Ramadan Al Mubarak Bersama Wings and Superfriends di Hotel Premiera KL di sini, baru-baru ini, seperti memetik BH.

Suami kepada Sharifah Ladyana itu bagaimanapun dengan rendah diri mengakui apa yang dimilikinya itu hanyalah pinjaman.

“Apabila orang bertanya mengenai penjagaan suara, saya tidak tahu macam mana hendak memberikan jawapan.

“Malah, ketika terbabit dalam persembahan ini pun, saya mencabar diri dengan memakan beberapa ulas durian.

Kata orang, jangan makan durian, nanti tak boleh nyanyi tapi kalau nak makan juga, kena banyak minum air.

“Ada pula yang cakap, kita tidak boleh buat perkara itu dan ini kalau nak jaga suara.

Bahkan, tidak kurang yang menitikberatkan soal pemakanan dalam menjaga suara mereka.

“Bagi saya, makanan bukan punca tidak boleh menyanyi.

Sebaliknya, latihan berterusan adalah perkara paling penting untuk kita menjaga mutu vokal.

“Kalau bab makan, saya bedal saja, tambahan pula bulan puasa ini,” katanya sambil menambah latihan untuk persembahan terbabit diadakan selepas umat Islam mula berpuasa.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Tragedi Oktober itu memberitahu, disiplin dan kemahiran sangat penting dalam memastikan kualiti suara berada pada tahap terbaik.

“Kalau kita berhenti berlatih menyanyi dalam sebulan, saya yakin selepas itu kita akan semput.

Otot yang ada pada anak tekak dan kotak suara kita kena diperkuatkan menerusi latihan berterusan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.